Imigresen usir lebih 30,000 PATI sejak Januari
22:12 Dec 07, 2023  |  By SabahKini2
Imigresen usir lebih 30,000 PATI sejak Januari

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Ruslin Jusoh berkata, sejak Januari hingga November lepas seramai 35,802 pendatang tanpa izin diusir.

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen telah mengusir seramai 35,802 pendatang tanpa izin sejak Januari hingga November lepas, kata Ketua Pengarahnya Ruslin Jusoh.

Beliau berkata bagi tempoh sama, pihaknya turut menahan 58,774 pendatang asing dan 289 majikan hasil 103,124 pemeriksaan menerusi 9,164 operasi dijalankan di seluruh negara.

“Fokus utama Jabatan Imigresen ialah memastikan tiada majikan yang menggajikan pendatang asing selari dengan pengusiran dijalankan.

“… menjadi satu kesalahan mana-mana majikan yang menggajikan pendatang asing bagi berurusan atau berniaga atau menggajikan mereka yang mempunyai pas lawatan kerja sementara di tempat lain,” katanya pada sidang media selepas operasi khas di Kompleks Kota Raya di sini hari ini.

Terdahulu, dalam operasi khas berkenaan, Ruslin berkata pihaknya menahan 330 pendatang asing pelbagai warganegara hasil pemeriksaan terhadap 350 individu.

Beliau berkata semua yang ditahan terdiri daripada 215 wanita dan 115 lelaki termasuk kanak-kanak warga Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Pakistan, Filipina dan China.

“Semua yang berusia lingkungan tujuh bulan hingga 70 tahun dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk siasatan lanjut,” katanya.

Comment