ASB digesa tingkat usaha turut serta dalam industri minyak dan gas
22:12 Dec 08, 2023  |  By SabahKini2
ASB digesa tingkat usaha turut serta dalam industri minyak dan gas

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Petronas telah menjelaskan bahawa mereka mahu penyertaan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada syarikat Sabah dalam industri berkenaan.

Labuan: Pengurusan Asian Supply Base (ASB) dinasihat meningkatkan usaha untuk turut serta dalam industri minyak dan gas.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Petronas telah menjelaskan bahawa mereka mahu penyertaan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada syarikat Sabah dalam sektor berkenaan, tetapi sehingga kini jumlah penyertaan itu kurang menggalakkan.

“Kita mesti mahu pastikan kita capai sasaran 30 peratus itu,” katanya dalam lawatan kerja ke ASB di sini, hari ini.

Beliau berkata, dengan Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) yang hampir penuh pada ketika ini, ASB perlu mengambil peluang dalam industri minyak dan gas.

“ASB terletak di bawah Sabah Energy Corporation (SEC) iaitu salah satu kunci utama Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) kerajaan negeri.

“Adalah penting kepada ASB untuk mempelbagaikan perniagaannya khususnya dalam industri minyak dan gas,” katanya selepas menerima taklimat daripada Pengerusi ASB Datuk Suhaili Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Japar Esteban mengenai rancangan masa depan syarikat itu.

Antaranya, ialah membina kemudahan Pergantian Krew yang akan dijadikan sebagai Pusat pemprosesan Kastam, Imigresen dan Keselamatan untuk pekerja memasuki perairan Sabah serta mencadangkan kerja-kerja pembesaran dermaga yang menelan kos RM240 juta.

Hadir sama ialah Pengerusi Labuan Corporation Senator Tan Sri Anifah Aman dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Panglima Safar Untong.

Comment