UMS cipta sejarah, hasilkan graduan PhD teramai sejak 2003
17:12 Dec 11, 2023  |  By SabahKini2
UMS cipta sejarah, hasilkan graduan PhD teramai sejak 2003

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, graduan-graduan PhD itu merupakan antara graduan pascasiswazah yang akan diraikan pada sidang pertama Majlis Konvokesyen.

KOTA KINABALU: Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) kali ke-25 yang berlangsung bermula 11 Disember ini mencipta sejarah tersendiri apabila 97 graduan Doktor Falsafah (PhD) akan menerima skrol ijazah, jumlah tertinggi yang dicatatkan dalam sejarah konvokesyen UMS sejak 2003.

Graduan-graduan PhD itu merupakan antara graduan pascasiswazah yang akan diraikan pada sidang pertama Majlis Konvokesyen.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk Dr. Kasim Mansor memaklumkan, sejumlah 558 pelajar program pascasiswazah dihasilkan pada majlis konvokesyen tahun ini.

“Jumlah ini turut merangkumi 131 orang pelajar Sarjana Penyelidikan; 9 orang pelajar Doktor Perubatan Kesihatan Awam (DrPH); 15 orang pelajar Sarjana Kesihatan Awam (MPH); 11 orang pelajar Sarjana Speciality Programme for Alcohol and Drug Abuse (SPADA); 143 orang pelajar Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah serta seramai 152 pelajar program kerja kursus di bawah kendalian Pusat Luar UMS.

“Pastinya detik menerima skrol daripada Tun Canselor UMS merupakan antara saat terindah dan penuh bermakna buat para pelajar sekalian.
 
“Perasaan sedemikian kita lanjutkan kepada pelajar-pelajar yang telah memberikan komitmen yang tinggi sehingga membolehkan mereka dipilih sebagai penerima beberapa anugerah istimewa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Anugerah Pascasiswazah (MAP) 2023 UMS yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, hari ini.

Kasim menambah, para graduan mempunyai peranan penting dalam memastikan UMS terus relevan sebagai pusat pengajian tinggi yang boleh memberi manfaat kepada kehidupan masyarakat sekitar dan seantero dunia.
 
“Sekecil-kecil peranan yang anda boleh lakukan ialah dengan membawa imej baik UMS di mana jua anda bekerja atau berada.
 
“Tonjolkan ketajaman minda dan karisma kepimpinan anda yang selama ini dicungkil dan digilap semasa mengikuti pengajian di UMS,” katanya.

Dalam pada itu, MAP 2023 yang dianjurkan bersempena dengan Majlis Konvokesyen UMS kali ke-25 bertujuan memberikan pengiktirafan kepada pelajar pascasiswazah yang cemerlang dan juga meraikan sumbangan pensyarah selaku penyelia cemerlang.

Pada majlis itu, Kasim menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang, Anugerah Penyelia Terbaik, Anugerah Tesis Terbaik, Anugerah Pelajar Terbaik dan Anugerah Aspirasi Pascasiswazah kepada para penerima.

Comment