Lelaki hilang ditemui meninggal dunia selepas hampir 72 jam
15:12 Dec 13, 2023  |  By SabahKini2
Lelaki hilang ditemui meninggal dunia selepas hampir 72 jam

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ridzwan Mohd Taib berkata, mangsa Fred Yassin, 42, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan sungai pada jam 11.30 pagi.

RANAU: Seorang lelaki yang dilaporkan hilang di kawasan hutan berhampiran Kampung Kimolohing, di sini sejak Isnin lalu ditemukan meninggal dunia.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ridzwan Mohd Taib berkata, mangsa Fred Yassin, 42, ditemukan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan sungai pada jam 11.30 pagi.

“Mangsa ditemukan pada jarak 300 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata operasi keseluruhan ditamatkan jam 1 petang.

Terdahulu, mangsa dilaporkan dilihat kali terakhir ketika menyeberangi Sungai Liwagu, Kira-kira jam 1.30 tengah hari pada Isnin.

Berdasarkan laporan, mangsa bersama keluarganya keluar ke kebun berhampiran intake logi air Bambangan pada 11 Disember lalu.

Semua keluarga mangsa menggunakan jambatan gantung untuk ke kebun manakala mangsa turun ke Sungai Liwagu melalui kawasan bawah jambatan gantung.

Ridzwan berkata pihak bomba kemudian menerima panggilan daripada pihak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau yang memaklumkan seorang lelaki hilang di hutan.

“Bertindak dengan kejadian, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi. 

"Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba mendapatkan maklumat daripada keluarga mangsa seterusnya menjalankan operasi SAR.

"Operasi SAR disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela)," katanya.

Comment