Kerja penambahbaikan LRA di Beluran mula tahun 2024
19:12 Dec 13, 2023  |  By SabahKini2
Kerja penambahbaikan LRA di Beluran mula tahun 2024

Timbalan Ketua Menteri Sabah III Datuk Shahelmey Yahya berkata, loji yang mempunyai kapasiti pengeluaran 11 juta liter sehari itu kini hanya menghasilkan air terawat sebanyak 3.5 juta liter sehari.

BELURAN: Kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air (LRA) Kampung Muanad 3, di sini dijangka bermula tahun depan bagi mengoptimumkan keupayaan loji tersebut, kata Timbalan Ketua Menteri Sabah III Datuk Shahelmey Yahya.

Beliau yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata loji yang mempunyai kapasiti pengeluaran 11 juta liter sehari itu kini hanya menghasilkan air terawat sebanyak 3.5 juta liter sehari.

"Saya telah maklumkan kepada Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) supaya mengambil tindakan segera untuk membuat penambahbaikan dari sudut fizikal iaitu struktur dan operasi serta sumber manusia.

“Kerja penambahbaikan itu dijangka mengambil masa enam hingga 12 bulan dan kosnya akan diperincikan kemudian," katanya kepada pemberita selepas meninjau LRA itu hari ini.

Pada lawatan ke Beluran itu, Shahelmey turut meninjau projek menaik taraf jalan Kompleks Sukan Beluran yang dijangka siap April depan.

2 Comments