Tiga buah gereja DUN Lumadan terima sumbangan sempena perayaan Hari Krismas
17:12 Dec 18, 2023  |  By SabahKini2
Tiga buah gereja DUN Lumadan terima sumbangan sempena perayaan Hari Krismas

Antara gereja yang menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri ialah Gereja St Joseph Laboi, Gereja St Michael Lumadan dan Gereja St Ratu Rosari Binunuk.

LUMADAN: Tiga buah gereja dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan menerima sumbangan sempena sambutan perayaan Hari Krismas yang diraikan oleh masyarakat Kristian.

Antara gereja yang menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam yang juga Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri ialah Gereja St Joseph Laboi, Gereja St Michael Lumadan dan Gereja St Ratu Rosari Binunuk.

Selain gereja, turut menerima sumbangan ialah tiga paderi gereja dan tiga pengerusi belia gereja termasuk dua paderi Paroki Pusat Gereja St Valentine Beaufort.

Seramai 248 ketua keluarga (KIR) dalam kawasan DUN Lumadan yang bakal merayakan sambutan Krismas juga menerima sumbangan itu, dalam Program Ramah Mesra sempena Hari Natal yang diadakan di Dewan Kg Laboi Luagan pada Ahad.

Ruslan menyerahkan sumbangan hamper-hamper kepada KIR melalui 16 Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), yang kemudian diagihkan kepada para penerima.

Turut serta memeriahkan Program Ramah Mesra sempena Hari Natal di Dewan Kg Laboi Luagan Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah.

Ruslan dalam ucapan menggesa masyarakat supaya mengukuhkan perpaduan yang sedia terjalin bagi menjamin keharmonian sejagat sekaligus menjamin kestabilan dan kemakmuran di wilayah Sabah.

Jelas beliau, Sabah sememangnya terkenal dengan kesatuan serta perpaduan, dan wajar wilayah ini menjadi contoh semangat Madani kepada negeri-negeri lain bagi mengukuhkan lagi ikatan silaturahim.

"Saya berharap generasi muda hari ini dapat mempertahankan perpaduan yang telah wujud sekian lama di Sabah kerana mereka lah yang akan meneruskan kepimpinan pada masa hadapan.

"Pada majlis ramah mesra hari ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut perayaan Hari Natal kepada seluruh masyarakat Kristian di DUN Lumadan dan semoga perayaan ini dapat mengukuhkan lagi silaturahim sesama kita di Sabah, " katanya.

Comment