Premis Pelacuran Hidang Wanita Asing Tidak Serik di Serbu Imigresen
10:03 Mar 13, 2018  |  By SabahKini2
Premis Pelacuran Hidang Wanita Asing Tidak Serik di Serbu Imigresen

Aktiviti pelacuran ini giat dijalankan di tingkat 3 di salah sebuah bangunan pusat snoker bagi tujuan mengaburi pihak penguatkuasa daripada mengesan aktiviti pelacuran tersebut

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah mengadakan satu operasi ke atas sebuah pusat urut tradisional di kawasan Taman Maluri Cheras, Kuala Lumpur pada 12 Mac 2018. Operasi yang dijalankan oleh Unit Quick Response Team (QRT), Bahagian Perisikan Operasi Khas dan Analisa bermula jam 9.00 malam dan membabitkan seramai 18 orang pegawai imigresen.

Risikan awal dijalankan bagi mengesahkan aduan dan mengumpul maklumat serta modus operandi aktiviti pelacuran di pusat urut tersebut yang boleh membantu dalam perancangan operasi menjadi agak mudah kerana telah berulang kali operasi, pemeriksaan dan tangkapan dilakukan di sini. Risikan awal mendapati pusat urut tersebut menawarkan perkhidmatan seks dan papan tanda sebagai pusat urutan tradisional diletakkan bagi mengaburi pandangan pihak penguatkuasa.

Hasil pemeriksaan di premis tersebut, pegawai operasi telah berjaya menahan seramai 17 orang wanita yang terdiri daripada 11 orang wanita warganegara Vietnam, 04 wanita warganegara Indonesia, 01 wanita warganegara Laos dan 01 wanita warganegara Thailand yang di syaki melakukan akitiviti pelacuran di pusat urut tradisional tersebut.

Aktiviti pelacuran ini giat dijalankan di tingkat 3 di salah sebuah bangunan pusat snoker bagi tujuan mengaburi pihak penguatkuasa daripada mengesan aktiviti pelacuran tersebut. Premis tersebut pernah diserbu oleh pihak penguatkuasa JIM Putrajaya  beberapa kali pada tahun 2017 dan lebih daripada 40 wanita ditahan dan telah dijatuhkan hukuman  tetapi akitiviti pelacuran masih lagi dijalankan di premis itu tanpa rasa takut terhadap pihak penguatkuasaan dan undang-undang.



Pemeriksaan lanjut mendapati premis tersebut juga dijalankan tanpa lesen perniagaan yang sah. Majikan premis tersebut mempunyai hubungan baik dengan agen-agen di luar negara seperti Indonesia, Vietnam, Thailand, Filipina dan sebagainya untuk membawa masuk wanita-wanita dari negara tersebut ke negara Malaysia bagi aktiviti tidak bermoral untuk mendapatkan keuntungan yang berlipat ganda.

Hasil soal siasat mendapati wanita-wanita ini juga mendapat perlindungan daripada majikan. Kondom disorokkan di dalam kotak rokok bagi tujuan mengelakkan pihak penguatkuasa mengesan dan merampas kondom tersebut sebagai barang kes bagi tujuan siasatan. Dipercayai premis ini mengaut keuntungan hampir berpuluhan ribu dalam masa sehari melalui aktiviti pelacuran wanita warganegara asing.

Pegawai operasi juga berjaya menahan 02 orang lelaki warganegara Malaysia yang bekerja sebagai penyelia di premis tersebut yang dimana juga pernah ditangkap semasa operasi sebelum ini bersama 02 pekerja lelaki warganegara Myanmar semasa pemeriksaan dilakukan.

Sebanyak 05 notis untuk hadir member keterangan telah dikeluarkan kepada pelanggan yang berada di dalam premis semasa serbuan dijalankan bagi membantu siasatan lanjut.

Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen. Kesemua tahanan akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya untuk siasatan dan tindakan susulan. Siasatan dilakukan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATISOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

JIM mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI atau terpaksa berhadapan dengan tindakan undang-undang. Orang awam yang mempunyai maklumat tentang aktiviti tidak bermoral, PATI atau sebarang maklumat yang boleh membantu JIM dalam melaksanakan penguatkuasaan supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut. Pihak JIM akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membendung berlakunya aktiviti tidak bermoral bagi tujuan menjaga imej, kesejahteraan dan keamanan negara.

DATO’ SERI HAJI MUSTAFAR BIN HAJI ALI
KETUA PENGARAH
IMIGRESEN MALAYSIA

Comment