Penggiat Industri Pelancongan Sabah Diseru Tingkatkan Mutu Perkhidmatan
17:03 Mar 13, 2018  |  By SabahKini2
Penggiat Industri Pelancongan Sabah Diseru Tingkatkan Mutu Perkhidmatan

Kerajaan juga menyediakan Tabung Khas Pelancongan (TKP) iaitu kemudahan pinjaman kepada pengusaha bertaraf kecil dan sederahana. Oleh itu saya meminta semua penggiat industri pelancongan di Sabah merebut peluang yang disediakan untuk memajukan perkhidmata

KOTA KINABALU – Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun menyeru agar penggiat industri pelancongan di negeri ini mengambil peluang untuk meningkatkan daya saing serta mutu perkhidmatan bagi menghadapi cabaran di masa depan.

Beliau berkata kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan dan kemudahan untuk membantu penggiat industri pelancongan mempertingkat lagi mutu perkhidmatan masing-masing.

“Antaranya kerajaan menyediakan pelbagai insentif serta galakan kepada penggiat industri melalui beberapa program seperti Tabung Pembangunan Infrastruktur Pelancongan (TPIP) yang menawarkan kemudahan pembiayaan dana pelancongan berbentuk pinjaman.

“Kerajaan juga menyediakan Tabung Khas Pelancongan (TKP) iaitu kemudahan pinjaman kepada pengusaha bertaraf kecil dan sederahana. Oleh itu saya meminta semua penggiat industri pelancongan di Sabah merebut peluang yang disediakan untuk memajukan perkhidmatan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Keterlibatan Bersama Penggiat Industri Pelancongan Negeri Sabah, di sini hari ini.

Masidi berkata pihaknya percaya dengan adanya peluang-peluang yang disediakan kerajaan, para penggiat industri pelancongan di negeri ini akan mencapai matlamat dan sasaran yang ditetapkan.

Mengulas mengenai program itu, beliau berkata ia merupakan satu sesi untuk memberi penerangan kepada penggiat industri pelancongan di Sabah mengenai program kerajaan yang dapat membantu industri pelancongan tempatan.

“Program ini juga adalah satu daripada platform untuk pihak kementerian bersemuka dengan penggiat industri untuk berkongsi hala tuju industri pelancongan di Sabah.

“Selain itu dalam sesi ini kami dapat memberi penerangan berkaitan insentif pengecualian cukai antaranya melalui pendaftaran projek pelancongan dan Malaysia Tourism Quality Assurance (MyTQA),” tambahnya.

Sehubungan itu, Masidi berharap program itu dapat memberi pendedahan serta kefahaman kepada penggiat industri pelancongan di Sabah mengenai peranan masing-masing sebagai rakan strategik dan medium penyampaian maklumat kepada pihak kerajaan dalam menangani isu-isu pelancongan di Sabah, sekali gus memartabatkan lagi industri pelancongan di Malaysia. – BERNAMA

Comment