DUN Sabah: Tiga RUU ambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik diluluskan
14:01 Jan 04, 2024  |  By SabahKini2
DUN Sabah: Tiga RUU ambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik diluluskan

Tiga RUU berkenaan adalah RUU Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) 2024, RUU Bekalan Elektrik 2024 dan RUU Tenaga Boleh Baharu 2024 yang kesemuanya dibentangkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

KOTA KINABALU: Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah hari ini meluluskan tiga Rang Undang-Undang (RUU) bagi kerajaan negeri mengambil alih kuasa kawal selia bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu daripada Persekutuan.

Tiga RUU berkenaan adalah RUU Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) 2024, RUU Bekalan Elektrik 2024 dan RUU Tenaga Boleh Baharu 2024 yang kesemuanya dibentangkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M. Yahya meluluskan RUU Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) 2024 dan RUU Tenaga Boleh Baharu 2024 manakala, Timbalan Speaker DUN Sabah Datuk Al Hambra Juhar meluluskan RUU Bekalan Elektrik 2024.

Seramai tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membahaskan pembentangan RUU Suruhanjaya Tenaga (Pindaan) 2024 iaitu ADUN Sindumin Datuk Dr. Yusof Yacob; ADUN Senallang Datuk Seri Mohd Shafie Apdal; ADUN Dilantik Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee; ADUN Liawan Datuk Annuar Ayub; ADUN Tanjung Aru Datuk Junz Wong; ADUN Bongawan Dr. Daud Yusuf; dan ADUN Darau Azhar Matussin.

Hajiji berkata, RUU berkenaan akan memberi kuasa kepada Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) untuk mengawal selia industri bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu di Sabah.

Justeru katanya, segala aktiviti-aktiviti berkaitan bekalan elektrik dan tenaga boleh baharu dapat dijalankan secara berterusan tanpa sebarang gangguan.

Beliau berkata, ia seiring dengan persetujuan secara bersama di antara kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu Pengambilalihan Kuasa Kawal Selia Bekalan Elektrik daripada kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri pada 12 Jun 2023.

Menurutnya, fungsi dan kuasa kawal selia bekalan elektrik dimasukkan ke dalam Enakmen Suruhanjaya Tenaga Sabah 2023 melalui RUU Suruhanjaya Tenaga Sabah (Pindaan) 2024.

"Sehubungan itu, suatu perintah di bawah Perkara 95C Perlembagaan Persekutuan iaitu penggantungan Akta Bekalan Elektrik 1990, Akta Tenaga Boleh Baharu 2011 dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari 2011 di Sabah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 22 Disember 2023," katanya.

RUU Bekalan Elektrik 2024 diluluskan selepas dibahaskan sembilan ADUN antaranya ADUN Kuamut Datuk Masiung Banah; ADUN Tanjung Kapor Chong Chen Bin; ADUN Kapayan Jannie Lasimbang; ADUn Tanjong Papat Datuk Frankie Poon; ADUN Sri Tanjong Justin Wong; ADUN Elopura Calvin Chong; ADUN Tungku Assaffal P. Alian; serta Shafie dan Junz.

Dalam pembentangannya Hajiji menjelaskan, RUU berkenaan akan memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengawal selia sektor pembekalan elektrik di Sabah.

Beliau berkata, segala aktiviti sektor pembekalan elektrik yang dijalankan akan dapat dikawal dan dilaksanakan secara efektif serta efisien.

Sementara itu, pembentangan RUU Tenaga Boleh Baharu 2024 dibahaskan lima ADUN iaitu ADUN Kemabong Datuk Rubin Balang; ADUN Kunak Norazlinah Arif; ADUN Kukusan Rina Jainal; ADUN Dilantik Amisah Yassin serta Calvin Chong.

Hajiji berkata, RUU itu akan memberi kuasa kepada kerajaan negeri untuk mengawal selia sektor tenaga boleh baharu di negeri ini.

Menurutnya, segala aktiviti sektor tenaga boleh baharu yang dijalankan dapat dikawal dan dilaksanakan serta mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan tenaga boleh baharu khususnya di Sabah.

"Pada 19 September 2023, kerajaan negeri melancarkan Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang digubal oleh ECoS.

"Antara intipati SE-RAMP 2040 yang menyokong pembangunan tenaga boleh baharu termasuk penambahan komposisi tenaga boleh baharu di dalam campuran penjanaan tenaga elektrik di Sabah melalui kajian dan pembangunan sumber sedia ada dan yang baharu.

"Ia turut membangunkan suatu Pelan Induk Pembangunan Hidroelektrik di Sabah melalui kajian yang kini sedang dilaksanakan oleh ECoS," jelasnya.

Hajiji berkata, sasaran peratusan kapasiti tenaga boleh baharu yang ditetapkan adalah lebih 50 peratus pada 2035 berbanding dengan sembilan peratus ketika ini bagi menyokong aspirasi negara untuk mencapai Negara Neutral Karbon menjelang 2050.

Selain itu katanya, pelan berkenaan menggunakan kelebihan sumber tenaga boleh baharu yang banyak serta unik di Sabah seperti kuasa solar, biojisim, geoterma, kuasa angin untuk dibangunkan sebagai sumber jana kuasa berskala besar yang mesra alam.

Comment