Sebanyak 99% pengguna Sabah, Labuan tidak dikenakan surcaj tarif elektrik
14:01 Jan 04, 2024  |  By SabahKini2
Sebanyak 99% pengguna Sabah, Labuan tidak dikenakan surcaj tarif elektrik

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, berdasarkan kepada bantuan subsidi bersasar, kerajaan Persekutuan tidak mengenakan sebarang surcaj ICPT kepada pengguna domestik serta pengguna komersial dan industri kecil-kecilan.

KOTA KINABALU: Kira-kira 99 peratus pengguna bekalan elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan tidak akan dikenakan sebarang pelarasan tarif elektrik atau surcaj 'Imbalance Cost Past Through' (ICPT) bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2024.  

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, berdasarkan kepada bantuan subsidi bersasar, kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak mengenakan sebarang surcaj ICPT kepada pengguna domestik serta pengguna komersial dan industri kecil-kecilan.

Katanya, subsidi berkenaan memperuntukkan sebanyak RM161.70 juta untuk penggunaan bulanan pengguna domestik di bawah 1,500 unit iaitu jumlah bil sekitar RM700 sebulan dan pengguna komersial serta industri kecil-kecilan iaitu lazimnya disambung pada tahap voltan rendah.

Sehubungan itu beliau berkata, dengan adanya subsidi berkenaan, sekitar 99 peratus pengguna di Sabah dan Labuan tidak akan dikenakan surcaj ICPT dalam tempoh berkenaan.

"Pelarasan tarif elektrik melalui mekanisme ICPT ini dilaksanakan mengikut kelulusan yang diputuskan oleh kerajaan setiap enam bulan pada setiap tahun untuk dilepaskan kepada pengguna elektrik di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan dalam bentuk surcaj atau rebat ICPT.
 
"ICPT bertujuan mengatasi perubahan sama ada peningkatan atau penurunan kos bahan api dan kos-kos penjanaan elektrik di luar kawalan.

"Peningkatan kos dilepaskan dalam bentuk surcaj manakala penurunan kos dilepaskan sebagai rebat kepada tarif elektrik pengguna," katanya pada Persidangan Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Justin Wong Yung Bin (WARISAN-Sri Tanjong) mengenai surcaj ke atas tarif elektrik yang dikenakan kepada pengguna di Sabah. 
 
Hajiji berkata, bagi tempoh regulatori P4 atau Period 4 iaitu di antara Julai 2023 hingga Disember 2023 yang disemak, terdapat peningkatan kos penjanaan berjumlah RM225.33 juta disebabkan oleh peningkatan kos penjanaan di luar jangkaan.

Justeru jelasnya, Mesyuarat Jemaah Menteri Persekutuan memutuskan pelaksanaan pelarasan tarif elektrik di bawah mekanisme ICPT dalam tempoh P5 bermula 1 Januari hingga 30 Jun 2024.

Menurutnya, ia dilaksanakan seperti di Semenanjung Malaysia melalui kuasa kawal selia bekalan elektrik yang pada ketika ini masih di bawah kerajaan Persekutuan.

Katanya, baki kenaikan kos penjanaan berjumlah RM69 juta terpaksa ditanggung atau dilepaskan kepada pengguna domestik yang menggunakan lebih 1,500 unit dan pengguna industri dan komersial besar (dengan tarif voltan sederhana dan tinggi) serta tarif lampu awam yang memberikan impak kenaikan 7.2 sen seunit (per kWh) atau sekitar 11 hingga 22 peratus.

1 Comment