Datuk Seri Dr Sabin Samitah, Mayor DBKK ketujuh
15:01 Jan 05, 2024  |  By SabahKini2
Datuk Seri Dr Sabin Samitah, Mayor DBKK ketujuh

Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) ketujuh, Datuk Seri Dr Sabin Samitah berkata, beliau akan meneruskan pelan pembangunan yang sudah ditetapkan DBKK dengan melaksanakan beberapa perubahan.

KOTA KINABALU: Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) ketujuh, Datuk Seri Dr Sabin Samitah tekad melaksanakan visi dan aspirasinya menjadikan Bandaraya Kota Kinabalu sebagai bandaraya yang lebih ‘vibrant’ selepas ini.

Anak kelahiran Ranau itu juga berkata, beliau akan meneruskan pelan pembangunan yang sudah ditetapkan DBKK dengan melaksanakan beberapa perubahan seperti yang dikehandaki kerajaan dalam memastikan aspiransinya itu tercapai.

“Saya berterima kasih dengan usaha Mayor terdahulu yang meletakkan asas kukuh dalam pentadbiran Bandaraya Kota Kinabalu dan tidak dinafikan setiap Mayor mempunyai kelebihan serta kekangan dalam pentadbiran.

“Dalam melaksanakan visi dan aspirasi sebagai Mayor DBKK baharu, saya akan meneruskan apa yang digariskan dalam pelan pembangunan DBKK dengan beberapa perubahan seperti yang diminta kerajaan.

“Saya akan pastikan Bandaraya Kota Kinabalu lebih ‘vibrant’ dengan bantuan pegawai serta kakitangan yang mempunyai pengalaman bertugas di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini,” katanya semasa sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Mayor DBKK di sini semalam.

Hadir sama Mayor DBKK keenam, Noorliza Awang Alip, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Safar Untong, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri merangkap menteri yang bertanggungjawab kepada DBKK Datuk Abidin Madingkir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew, Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah Datuk Phoong Jin Zhe dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah Dilantik Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee.

Sabin berkata, Bandaraya Kota Kinabalu mempunyai persekitaran indah dan alam semulajadi yanh cantik, warga bandaraya yang mempunyai pelbagai kebolehan serta berpendidikan tinggi adalah sebagai sumber manusia yang akan memajukan lagi kawasan ini.

“Saya yakin dengan kerjasama kerajaan negeri dan pelbagai pihak termasuk peniaga serta syarikat akan bersama-sama menjadikan bandaraya kita lebih maju.

“Saya juga berazam memastikan tahap kebersihan Kota Kinabalu dipertingkat seiring kecantikkan landskap, bunga serta lampu lebih terang dengan tandas yang mencukupi dan pada masa sama warga kota lebih mesra menambahkan lagi keindahan di bandaraya ini.

“Pembaharuan yang diambil termasuk kerjasama melancarkan lagi lalu lintas bersama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membantu merealisasikan kenyataan aspirasi ini,” katanya.

Sementara itu katanya, sistem parking di kawasan Bandaraya Kota Kinabalu juga sedang dirancang untuk ditambahbaik ke arah digital.

“Sistem parking juga adalah salah satu perkara yang sedang diteliti untuk ditukar kepada sistem parking bermesin seiring dengan cadangan daripada beberapa syarikat dan tidak lagi meneruskan sistem parking dengan kaedah menggores kupon.

“Perkara ini bagaimanapun sedang diteliti kerana kita kena lihat kontrak DBKK bersama syarikat yang melaksanakan sistem ini sebelum bertukar ke arah digital,” katanya.

Dalam pada itu beliau juga akan melihat kekangan yang dihadapi oleh DBKK dari segi infrastruktur bagi melaksanakan dan mewujudkan satu pusat terhadap sistem pengangkutan awam di kawasan bandaraya.

“Jika dilihat di kawasan bandaraya lain, sistem pengangkutan awam antara masalah utama yang dihadapi, untuk Kota Kinabalu, kita akan melihat apa kekangan infrastruktur pengangakutan yang masih belum dilaksanakan sama ada dari segi bajet atau kekangan lain sebelum menyelesaikannya dan mewujudkan satu pusat untuk sistem pengangkutan awam di sini,” katanya.

Comment