KePKAS sasar 3 juta pelancong ke Sabah tahun ini
16:01 Jan 15, 2024  |  By SabahKini2
KePKAS sasar 3 juta pelancong ke Sabah tahun ini

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew berkata, peningkatan industri pelancongan Sabah dapat dilihat apabila negeri itu mencatat pulangan kira-kira RM4.6 bilion pada tahun 2023.

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) meningkatkan sasaran kehadiran pelancong pada tahun ini kepada tiga juta orang berbanding 2.8 juta sebelum ini berikutan perkembangan industri pelancongan negeri itu yang memberangsangkan terutamanya tahun lepas.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew berkata, peningkatan industri pelancongan Sabah dapat dilihat apabila negeri itu mencatat pulangan kira-kira RM4.6 bilion menerusi kedatangan lebih kurang 2.5 juta pelancong sepanjang 2023. 

"Sehubungan itu, Lembaga Pelancongan Sabah (STB) perlu berkerja keras untuk memastikan sasaran berkenaan dapat dicapai.

“Saya telah mendengar perancangan mereka minggu lepas dan saya percaya sasaran itu dapat dicapai," katanya dalam sidang media sempena penganjuran Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2024 di sini, hari ini.

Selain itu, pihaknya juga akan mensasarkan pelbagai lokasi baharu untuk pasaran pelancongan pada 2024.

"Pada tahun ini, kita akan merancakkan lagi aktiviti promosi pelancongan kita.

"Antara pasaran pelancongan kita adalah German, London, Vietnam, Jakarta, India dan banyak lagi.

"Saya tidak akan mendedahkan semua, tetapi dari semasa ke semasa kita akan ketahui rancangan-rancangan yang telah disediakan," katanya.

Selain itu katanya, KePKAS akan menganjurkan pelbagai program termasuk Sabah-Malaysia Rumah Keduaku (SMM2H). Program ini dapat menarik minat pelabur dan pelancong untuk datang ke Sabah.

"Kita berharap pelancong golongan atasan berpindah ke Sabah dan mewujudkan manfaat ekonomi di negeri ini," tambahnya.

"Tahun ini kita akan lebih agresif dan kita juga akan beri fokus kepada mesyuarat, inisiatif, persidangan dan pameran (MICE) di Sabah.

"MICE mampu beri pulangan lumayan dalam sektor pelaburan dan perniagaan. Pada masa sama menarik pelancong ke Sabah," katanya.

Comment