Keharmonian, perpaduan rakyat kunci kesejahteraan dan kemakmuran Sabah
16:01 Jan 22, 2024  |  By SabahKini2
Keharmonian, perpaduan rakyat kunci kesejahteraan dan kemakmuran Sabah

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Perayaan Tahun Baharu Cina bukan hanya disambut oleh masyarakat Tionghua di Sabah, malah pelbagai suku kaum lain di negeri ini turut bersama-sama meraikannya.

TUARAN: Keharmonian dan perpaduan dalam kalangan rakyat Sabah menjadi kunci kepada kesejahteraan dan kemakmuran negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, rakyat berbilang kaum dan bangsa di negeri ini saling hormat menghormati dan meraikan setiap perayaan dan kebudayaan bersama dengan penuh harmoni.

Beliau mengambil contoh, Perayaan Tahun Baharu Cina bukan hanya disambut oleh masyarakat Tionghua di Sabah, malah pelbagai suku kaum lain di negeri ini turut bersama-sama meraikannya.

"Inilah keunikan di Sabah kerana rakyat daripada pelbagai suku kaum dan budaya dapat bersama-sama menyambut sesuatu perayaan dengan penuh harmoni dan meriah.

"Keharmonian dan persafahaman ini telah kita warisi dari nenek moyang serta ia hendaklah terus dipertahankan seterusnya diwarisi oleh generasi muda", katanya ketika merasmikan Tuaran 2024 Dragon, Unicorns & Lions Dance Festival di sini pada Ahad.

Hajiji berkata, kepelbagaian itu juga memboleh rakyat berbilang kaum negeri ini hidup aman damai dan harmoni.

"Kita di Sabah boleh menjadi contoh dan teladan kepada negeri-negeri lain di Malaysia dalam soal persefahaman dan perpaduan rakyat berbilang kaum dan budaya," katanya.

Katanya, kerajaan negeri menerusi Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) komited membangunkan negeri ini dan rakyatnya tanpa memilih bangsa dan agama.

Menurutnya, kerajaan negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar akan menganjurkan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina 2024 bagi memeriahkan lagi suasana sambutan itu.

Turut hadir di majlis itu ialah Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Joniston Bangkuai, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Dalit, Datuk Jasnih Daya, Presiden Lions Club Tuaran, Kapitan Frankie Goh dan pemimpin masyarakat setempat.

Comment