Kejayaan anak jati Sabah lakar sejarah di Antartika
15:01 Jan 24, 2024  |  By SabahKini2
Kejayaan anak jati Sabah lakar sejarah di Antartika

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah amat berbangga dengan pencapaian Justin dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang turut mengibarkan bendera negeri Sabah bersama-sama Jalur Gemilang di Antartika.

KOTA KINABALU: Kejayaan anak kelahiran Ranau Prof. Dr. Justin Sentian yang melakar sejarah selaku rakyat Malaysia pertama dan paling lama menjalankan ekspedisi penyelidikan musim sejuk di Antartika mengharumkan nama Sabah dan Malaysia.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Sabah amat berbangga dengan pencapaian Justin dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang turut mengibarkan bendera negeri Sabah bersama-sama Jalur Gemilang sepanjang tempoh tujuh bulan penyelidikannya di Antartika.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Dr. Justin kerana beliau adalah saintis Malaysia pertama yang melaksanakan penyelidikan itu di Antartika.

"Pencapaian ini amat membanggakan kita dan lebih istimewa lagi bendera negeri Sabah turut dikibarkan di Antartika," katanya semasa menerima kunjungan daripada Justin bersama Timbalan Naib Canselor (Strategik) UMS Prof. Dr. Mohammad Saffree Jeffree dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) Abd Shukor Jamaluddin di Menara Kinabalu di sini semalam.

Semasa kunjungan itu, Justin turut mengembalikan bendera Sabah yang dikibarkan di Antartika kepada Hajiji sebagai simbolik kejayaan melengkapkan Ekspedisi Penyelidikan Musim Sejuk di Antartika.

Bendera Sabah yang sama diberikan oleh Hajiji semasa kunjungan hormat Justin pada 10 Mac 2023 sebelum beliau berlepas ke Antartika. 

Justin yang bertugas di Fakulti Sains dan Sumber Alam UMS menjalankan ekspedisi penyelidikan pada musim sejuk dengan cuaca ekstrem di Antartika selama tujuh bulan bermula 21 Mac hingga 27 Oktober 2023.

Ekspedisi berkenaan sekali gus menjadikannya sebagai rakyat Malaysia paling lama berada di benua paling sejuk di dunia itu. 

Sepanjang di Antartika, beliau tinggal dan melakukan kajian di stesen Prof. Julio Escudero milik negara Chile yang terletak di Pulau King George Antartika.

Ekspedisi yang julung kali itu dianjurkan oleh YPASM dengan kerjasama Institut Penyelidikan Antartika Chile (Instituto Antártico Chileno (INACH).

Comment