Sabah berpotensi menjadi hab pelancongan kesihatan
15:01 Jan 29, 2024  |  By SabahKini2
Sabah berpotensi menjadi hab pelancongan kesihatan

Saintis dalam bidang sel stem Prof Dato Sri Dr Mike Chan baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bagi membincangkan Sabah sebagai hab pelancongan kesihatan.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengalu-alukan usaha menjadikan Sabah sebagai hab pelancongan kesihatan bertaraf dunia.

Saintis dalam bidang sel stem Prof Dato Sri Dr Mike Chan baru-baru ini mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor bagi membincangkan potensi berkenaan.

Chan yang juga Pengerusi European Wellness Biomedical Group menjelaskan rancangan untuk melebarkan sayap perniagaan di Sabah.

Katanya, beliau dan isterinya Prof Dato Sri Dr Michelle Wong merancang untuk melebarkan perniagaan mereka di Sabah bagi memenuhi pasaran ASEAN dan BIMP-EAGA.

Menurutnya, pelebaran perniagaan itu termasuklah menubuhkan kemudahan pengeluaran biofarmaseutikal yang menggunakan teknologi Jerman di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan hab kepada Pusat European Wellness Asia Pasifik di Alam Mesra dengan jumlah pelaburan bernilai USD80 juta.

Katanya, dengan kemudahan itu, ia akan membantu Sabah menerokai pasaran sektor pelancongan pendidikan perubatan kesihatan, kerana para penyelidik sel stem adalah berasal dari seluruh dunia akan datang ke negeri ini untuk melakukan penyelidikan dalam bidang perubatan bio-regeneratif serta sains.

Chan terkenal dalam bidang perubatan bio-regeneratif di seluruh dunia dan telah menerbitkan lebih daripada 50 buah buku serta memenangi beberapa anugerah termasuklah World Chinese Wellness Entrepreneurship Leadership daripada China pada tahun lalu.

European Wellness diasaskan pada 1991 mempunyai 46 hospital dan pusat di seluruh dunia termasuk Jerman, Switzerland, Santorini Greece dan negara-negara asia dengan ramai pelanggan sedia ada.

Comment