11 PTI ditahan, mangsa penyeludupan migran
16:01 Jan 29, 2024  |  By SabahKini2
11 PTI ditahan, mangsa penyeludupan migran

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua PTI terbabit ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen membabitkan lima lelaki, tiga wanita dan tiga kanak-kanak berumur dalam lingkungan lapan bul

KOTA KINABALU: Seramai 11 pendatang tanpa izin (PTI) termasuk bayi berumur lapan bulan dipercayai mangsa penyeludupan migran ditahan dalam dua serbuan Operasi Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sekitar kawasan Penampang dan Kota Kinabalu.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah Datuk Sh. Sitti Saleha Habib Yussof berkata, kesemua PTI terbabit ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen membabitkan lima lelaki, tiga wanita dan tiga kanak-kanak berumur dalam lingkungan lapan bulan hingga 47 tahun. 

Katanya, operasi berkenaan dijalankan kira-kira jam 4.10 pagi pada Sabtu lepas membabitkan pemeriksaan seramai 22 individu.

Menurutnya, dalam serbuan pertama melibatkan pemeriksaan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda, pasukan JIM mendapati sembilan warga asing berada dalam kenderaan itu termasuk tiga orang yang bersembunyi di ruang 'bucket' belakang kenderaan.

Beliau berkata, kenderaan terbabit dipandu oleh seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 26 tahun dipercayai bertindak sebagai 'transporter' yang terlibat dengan sindiket menyediakan perkhidmatan membawa masuk warga asing khususnya dari Filipina. 

"Kereta berkenaan dikesan bergerak dari daerah Sandakan menuju ke Kota Kinabalu kira-kira jam 9.30 malam pada Jumaat.

"Sindiket ini menyediakan perkhidmatan terbabit dengan bayaran sekitar RM1,500 hingga RM2,500 bagi seorang warga asing dengan modus operandi menggunakan Pulau Bakungan Besar Filipina sebagai transit sebelum memasuki perairan negeri Sabah. 

"Hasil maklumat risikan juga berjaya mengenal pasti sebuah rumah di kawasan Penampang digunakan sebagai rumah transit bagi PTI yang diseludup sebelum dihantar ke lokasi sekitar Kota Kinabalu dan Papar untuk bekerja," katanya pada sidang media di sini hari ini. 

Sitti Saleha berkata, serbuan di rumah transit itu berjaya menahan tujuh lagi PTI yang disyaki terlibat dalam kesalahan penyeludupan migran. 

Dalam pada itu katanya, JIM Negeri Sabah turut menangkap empat warga tempatan iaitu dua lelaki dan dua wanita berumur dalam lingkungan 25 hingga 56 tahun kerana disyaki terlibat dengan penyeludupan migran. 

"Pasukan risikan kita menjangkakan sindiket ini sudah lama berlaku, tetapi bergerak secara aktif sejak 2021 melibatkan jenayah melalui transporter yang membawa migran haram ke Sabah.

"Kesemua yang ditahan masih dalam proses siasatan dan kita juga akan mengesan majikan yang memiliki premis itu kerana membenarkan migran haram tinggal di rumah itu.

"Kita yakin, pemandu yang bertindak sebagai transporter ini yang membawa migran haram ke Sabah sebelum dihantar ke kawasan sekitar Kota Kinabalu dan Papar untuk bekerja," jelasnya.

Dalam operasi itu, pihaknya turut merampas sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda kerani disyaki digunakan untuk menyeludup migran. 

Menurutnya, antara kesalahan yang dikenal pasti termasuklah tiada dokumen pengenalan diri dan lain-lain kesalahan di bawah Seksyen 55E dan Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Comment