Tunggakan cukai kadar DBKK Belum dibayar, lebih RM 75 juta
16:01 Jan 30, 2024  |  By SabahKini2
Tunggakan cukai kadar DBKK Belum dibayar, lebih RM 75 juta

Mayor DBKK Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, jumlah tunggakan itu membabitkan kadar cukai kadaran semasa berjumlah RM54.30 juta, caj faedah sebanyak RM19.21 juta serta kadar bayaran notis pemberitahuan berjumlah RM2.16 juta.

KOTA KINABALU: Sebanyak RM75.68 juta tunggakan cukai kadaran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) belum dijelaskan pengguna setakat ini.

Mayor DBKK Datuk Seri Dr. Sabin Samitah berkata, jumlah tunggakan itu membabitkan kadar cukai kadaran semasa berjumlah RM54.30 juta, caj faedah sebanyak RM19.21 juta serta kadar bayaran notis pemberitahuan berjumlah RM2.16 juta.

Katanya, tahun lalu DBKK memfailkan sebanyak 11 notis tuntutan cukai berjumlah RM30,485.73 serta tujuh kes saman yang melibatkan pembayaran sebanyak RM64,518.24.

Menurutnya, bagi tempoh yang sama, sebanyak 68 kes yang difailkan di mahkamah pada tahun-tahun sebelumnya berjaya diselesaikan membabitkan jumlah kutipan sebanyak RM634,051.52.

"DBKK menggalakkan semua pembayar cukai menjelaskan cukai kadaran masing-masing untuk mengelakkan dikenakan faedah serta tindakan undang-undang,” katanya pada sidang media selepas Majlis Mesra Bersama Media di sini semalam.

Beliau berkata, diskaun sebanyak 75 peratus (untuk suku tahun pertama sahaja) dikenakan bagi bayaran faedah fee serta notis pemberitahuan.

Menurutnya, tindakan itu bagi menggalakkan pembayaran tunggakan cukai, dengan syarat pembayaran dibuat secara sekali gus.

Sabin berkata, rebat sebanyak lima peratus ke atas cukai tahun semasa juga diberikan sekiranya pembayaran dibuat sekali gus pada atau sebelum 31 Mac 2024.

Turut hadir, Ketua Pengarah DBKK Junaina Abbe; Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Datuk Muguntan Vanar dan wakil media termasuk Ketua Pengarang Utusan Borneo Datuk Lichong Angkui.

Comment