AL-FATIHAH : ADUN Apas Tawfiq Titingan Kembali Kerahmatullah
04:03 Mar 15, 2018  |  By SabahKini2
AL-FATIHAH : ADUN Apas Tawfiq Titingan Kembali Kerahmatullah

Belasungkawa: Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan

TAWAU – Menteri Belia dan Sukan Sabah merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Pusat Perubatan Prince Court, Kuala Lumpur pada 11.57 malam tadi.

Pemergian Allahyarham yang berusia 56 tahun itu disahkan adiknya, Faridah ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Faridah berkata abangnya menjalani rawatan kesihatan serta pembedahan akibat kanser usus di hospital tersebut sejak lapan bulan lalu.

“Jenazah abang akan dibawa pulang ke Tawau pagi ini untuk dikebumikan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi adik Allahyarham, Datuk Nizam dalam kenyataan menerusi aplikasi Whatsapp meminta semua mendoakan agar abangnya diampunkan dosa serta memperoleh kemaafan daripada Allah SWT dan rohnya ditempatkan bersama-sama hamba yang soleh.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri Datin Sharifah Rahmah Syed Ali, tujuh anak terdiri empat lelaki dan tiga perempuan serta lima cucu.

Allahyarham yang juga Ketua UMNO Bahagian Tawau kali terakhir turun padang bertemu penduduk kawasan DUN Apas di Tawau pada 25 Feb lepas dalam program bantuan mangsa kebakaran di Kg Titingan.

Dalam ucapannya yang menyentuh hati, Allahyarham menyuarakan kerisauannya tidak sempat bertemu rakyat, namun tetap mengingatkan semua agar mengundi parti dan bukan kerana individu. 

"Setiap malam, Saya tidak boleh tidur kerana mengingat janji saya kepada penduduk Kampung Titingan yang rumah mereka terbakar. Saya ada berjanji kepada Tuan Ali Alwie dan kepada kepimpinan kampung dan kepimpinan bahagian bahawa saya akan turun dan bagikan setiap ketua ahli keluarga RM1000 untuk meringankan bebanan mereka.

"Saya takut terus nanti pejam mata tanpa menunaikan janji tersebut. Itulah saya datang walaupun saya dalam keadaan sakit. Saya gagahi juga untuk jumpa mereka yang pernah saya janji untuk bagi bantuan. Barulah rasa saya boleh tidur dengan tenang".

Sama-sama mendoakan Semoga Allah mengampuni, merahmati rohnya dan menempatkan Allahyarham bersama hamba-hambanya yang soleh.

Comment