Sabah sasar terima 3 juta pelancong tahun 2024
16:01 Jan 31, 2024  |  By SabahKini2
Sabah sasar terima 3 juta pelancong tahun 2024

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, tahun lalu kementeriannya sudah mencapai sasaran 2.2 juta dengan catatan kehadiran sehingga 2.6 juta pelancong ke Sabah

KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan untuk menerima sehingga 3 juta pelancong luar masuk ke negeri ini sebagai salah satu sasaran pencapaian tahun ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Christina Liew berkata, sepanjang tahun lalu kementeriannya sudah mencapai sasaran 2.2 juta dengan catatan kehadiran sehingga 2.6 juta pelancong ke sini bagi tempoh terbabit.

“Untuk tahun ini kita menyasarkan untuk menerima sehingga 2.8 juta kepada 3 juta pelancong dengan sokongan serta kerjasama daripada agensinya termasuk Lembaga Pelancongan Sabah (STB) dan Sri Pelancongan Sabah Sdn Bhd (SPS).

“Kita yakin sasaran ini juga mampu dicapai melalui beberapa program yang dilaksanakan termasuklah program Sabah Malaysia My Second Home (SMM2H) serta penubuhan Biro Konvensyen Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Makan Tengah Hari Bersama Media di sini.

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai dan Setiausaha Tetap Kementerian Josie Lai.

Christina berkata, majlis terbabit diadakan sebagai menghargai kerjasama Media Sabah yang memberikan liputan serta kerjasama baik selama tahun lalu.

“Saya gembira dan berpuas hati dengan liputan yang diberikan kepada Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar serta enam agensi lain termasuk STB, Taman-Taman Sabah (TTS), Jabatan Muzium Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS), Jabatan Perlindungan Alam Sekitar dan Lembaga Kebudayaan Sabah.

“Untuk makluman, terdapat dua portfolio menteri tambahan iaitu Biro Konvensyen Sabah yang beroperasi tahun ini dengan pelantikan Noredah Othman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif dan Program Rumah Keduaku Sabah-Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, liputan meluas daripada pihak media dalam menyebarkan maklumat yang tepat kepada masyarakat terutamanya mengenai dasar, program dan projek pembangunan kerajaan sangat dihargai.

“Jelas sekali, dengan kemunculan platform media sosial untuk memudahkan komunikasi dan ilmu, tugas wartawan menjadi semakin mencabar. 

“Pihak media diperlukan bagi meyakinkan masyarakat kerana hanya bahan berita yang sahih dikeluarkan melalui pengesahan daripada pihak berkuasa berkaitan berbanding perkongsian di media sosial yang palsu dan mengelirukan orang ramai,” katanya.

Tambahnya, beliau sendiri pernah menjadi mangsa terhadap situasi ini apabila terdapat pihak tertentu memfitnahnya dengan menyebarkan pembohongan di media sosial. 

“Mujurlah keadilan dapat ditegakkan melalui undang-undang dan pihak terbabit dikenakan tindakan sewajarnya.

“Saya sarankan Media Sabah terus berusaha menyajikan masyarakat terhadap berita sahih dan mengelakkan daripada penyebaran berita palsu yang dilakukan oleh tidak bertanggungjawab yang menyalahgunakan media sosial untuk kepentingan sendiri,” katanya.

Comment