Pasukan bomba berjaya kawal kebakaran hutan di Kuala Penyu
15:02 Feb 01, 2024  |  By SabahKini2
Pasukan bomba berjaya kawal kebakaran hutan di Kuala Penyu

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu Nelson Ponji berkata, operasi memadam kebakaran dijalankan dengan mengambil masa selama dua hari berturut-turut yang dilaksanakan lima pegawai dari BBP Kuala Penyu yang diketuainya sendiri.

BEAUFORT: Usaha gigih pihak bomba berjaya memadamkan kebakaran hutan seluas 1,490 ekar membabitkan beberapa buah kampung di Kuala Penyu di sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu Nelson Ponji berkata, operasi memadam kebakaran dijalankan dengan mengambil masa selama dua hari berturut-turut yang dilaksanakan lima pegawai dari BBP Kuala Penyu yang diketuainya sendiri.

Katanya, operasi turut dibantu lima lagi pegawai masing-masing dari Unit Drone serta BBP Kimanis dan BBP Beaufort.

“Kebakaran membabitkan kawasan hutan seluas 1,490 ekar itu dipercayai bermula kira-kira jam 2 petang Rabu di tiga buah kampung iaitu Kampung Purun Ulu, Nukahan dan Melawaring.

“Pasukan bomba terpaksa mengambil masa selama kira-kira 12 jam bagi memadamkan kebakaran berikutan keadaan api yang terlalu cepat merebak disebabkan angin kuat.

“Kebakaran juga sukar dikawal berikutan keadaan hutan yang kering serta kawasan tanah gambut, tetapi usaha gigih semua pegawai berjaya mengawal dan memadam api daripada merebak ke kawasan lebih luas,” katanya.

Bercakap lanjut mengenai operasi ini, Nelson berkata, operasi pemadaman hari pertama di lokasi sejauh 20 kilometer dari jarak balai itu dilaksanakan menggunakan satu aliran 200kaki, dua pancutan.

Katanya, kerja pemadaman menggunakan sumber air terbuka yang diperoleh dari tali air dengan dibantu floating pump dan pemerap api sehingga berjaya mengawal 40 peratus kebakaran membabitkan 595.6 ekar daripada keluasan keseluruhan hutan berkenaan.

“Operasi hari kedua diteruskan menggunakan kaedah sama sebelum berjaya memadamkan keseluruhan kebakaran dan menamatkan operasi pada jam 1.15 petang.

“Tiada kecederaan serta kemalangan dilaporkan sepanjang kejadian ini,” katanya.

Terdahulu, pasukan bomba turut mendapatkan bantuan Unit Drone bagi membuat tinjauan di kawasan sekitar kebakaran selain usaha mencari laluan masuk ke lokasi kebakaran bagi membolehkan operasi memadam kebakaran dijalankan.

24 Comments