Lorong-lorong jalan Kg. di Sulaman bakal dinaik taraf, RM4.5 juta diperuntukkan
20:02 Feb 03, 2024  |  By SabahKini2
Lorong-lorong jalan Kg. di Sulaman bakal dinaik taraf, RM4.5 juta diperuntukkan

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, lorong-lorong yang jaraknya antara 100 meter sehingga 300 meter akan dinaik taraf demi keselesaan dan kemudahan rakyat.

TUARAN: Kerajaan negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM4.5 juta untuk menaik taraf lorong-lorong jalan kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman, tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, lorong-lorong yang jaraknya antara 100 meter sehingga 300 meter akan dinaik taraf demi keselesaan dan kemudahan rakyat.

"Ini antara kemudahan yang kita rancang dan akan dilaksanakan dalam kawasan DUN Sulaman tahun ini, saya telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4.5 juta untuk tujuan itu.

"Banyak lagi kemudahan infrastruktur yang akan kerajaan buat dari semasa ke semasa dalam kawasan Sulaman dan juga kawasan-kawasan yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Peniaga Kecil dan Penjaja Kawasan Sulaman di Dewan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajau Sama di sini pada Sabtu.

Seramai 125 peniaga kecil dan penjaja di bahu-bahu jalan kawasan Sulaman menerima bantuan wang tunai RM5,000 daripada Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) dan peruntukan Sentuhan Kasih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Hajiji yang juga Pengerusi SEDIA berkata, kerajaan negeri juga komited untuk mengurangkan kadar miskin tegar di Sabah yang kini mempunyai lebih 22,000 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin tegar di negeri ini.

Menurutnya, kerajaan telah mewajibkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agansiagensi kerajaan dan para pelabur asing dan tempatan yang membuka kilang di Sabah mengambil anak-anak daripada kalangan keluarga termiskin tegar sebagai pekerja.

Katanya, dengan inisiatif itu disamping pengembelingan usaha daripada kementeriankementerian, jabatan-jabatan dan agensi berkaitan, kerajaan berharap dapat menoktahkan masalah kemiskinan tegar.

Menyentuh bantuan kepada peniaga kecil dan penjaja, beliau berkata ia merupakan antara usaha kerajaan membela nasib golongan berkenaan.

Beliau berharap bantuan itu dapat membantu mengembangkan lagi perniagaan mereka, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan untuk diri dan keluarga.

"Peniaga kecil dan penjaja perlu rajin berusaha untuk meningkatkan taraf hidup keluarga," katanya.

Turut hadir Ketua Eksekutif SEDIA, Datuk Seri Haji Hashim Paijan, Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Datuk Haji Abdul Kassim Razali, Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Datuk Haji Johari Saiman dan Pegawai Daerah Tuaran, Hadzlan Jablee.

2 Comments