Isteri meninggal dunia dibakar suami sendiri
14:02 Feb 06, 2024  |  By SabahKini2
Isteri meninggal dunia dibakar suami sendiri

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, kejadian terbabit dikatakan berpunca ketika sesi minum minuman keras jenis ‘tapai’ di rumah mereka pada 4 Februari lalu.

KENINGAU: Seorang wanita maut selepas 16 jam menerima rawatan di Hospital Keningau akibat dibakar oleh suaminya sendiri di Kampung Tinagalan, Sook, di sini.

Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, kejadian terbabit dikatakan berpunca ketika sesi minum minuman keras jenis ‘tapai’ di rumah mereka pada 4 Februari lalu.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati, kejadian berpunca apabila kedua-dua pasangan berumur 50 dan 41 tahun itu bertengkar dalam keadaan mabuk.

“Keadaan kemudian berada di luar kawalan apabila mangsa mencabar suspek untuk membakarnya selepas diugut suaminya sebelum itu.

“Suspek dilaporkan menyimbah isterinya dengan petrol sebelum menyalakan mancis dan terus mencampakkan ke arah mangsa.

“Anak perempuan pasangan berkenaan yang berumur 16 tahun menyedari kejadian berkenaan terus membawa keluar dua adiknya keluar menyelamatkan diri dari rumah berkenaan,” katanya.

Yampil berkata, remaja berkenaan terus membantu memadamkan api di badan ibunya sebelum cuba mendapatkan bantuan daripada bapa saudaranya.

“Suspek sendiri kemudiannya membawa mangsa ke Klinik Sook untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Keningau untuk rawatan lanjut.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pihak Hospital Keningau pada jam 1.41 petang, Ahad lalu,” katanya.

Sementara itu, Yampil berkata, suami mangsa sudah ditahan reman sehingga Jumaat depan untuk membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan ujian saringan air kencing juga didapati negatif. 

Comment