Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memuji inisiatif pembangunan tenaga hijau dan modal insan Petronas itu yang menyokong keutamaan Sabah dalam sektor berkenaan.
KOTA KINABALU: Tujuh penyelidik Universiti Malaysia Sabah (UMS) menerima geran berjumlah RM5.75 juta untuk menjalankan kajian dalam bidang teknologi hijau, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata geran di bawah Anugerah Dialog Kolaborasi Petronas-Akademia (PACD) itu menumpukan pada penyelidikan mengenai sistem penyimpanan tenaga bersih, pembangunan biotenaga, penjanaan hidrogen yang efisien serta kecekapan operasi menerusi sains data dan kecerdasan buatan.
Hajiji memuji inisiatif pembangunan tenaga hijau dan modal insan Petronas itu yang menyokong keutamaan Sabah dalam sektor berkenaan.
"Ini akan membantu usaha Sabah dalam meneroka dan mempromosikan penyelesaian mampan dalam bidang berkaitan tenaga yang sejajar dengan matlamat kelestarian global.
"Di sinilah industri bergerak ke arah global dan kerajaan negeri mahu memastikan ini (teknologi) juga diterima pakai di dalam negara," katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, Hajiji menyaksikan penyerahan geran berkenaan dan pemeteraian Memorandum Perjanjian antara Universiti Teknologi Petronas (UTP) dengan Kolej Universiti Yayasan Sabah (UCSF) yang merupakan institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.
Prof Madya Dr Mailin Misson, Dr Mohd Azlan Ismail, Dr Zarina Amin, Dr Ng Chi Huey, Dr Nazrien Adrian Amaludin, Dr Goh Poh Wah dan Dr Ervin Gubin Moung menerima geran tersebut daripada Naib Presiden Kanan Pengurusan Petroleum Malaysia Petronas Datuk Bacho Pilong.
Sementara perjanjian itu pula ditandatangani Naib Canselor UTP Prof Datuk Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib dengan Naib Canselor UCSF Naib Canselor Dr Rafiq Idris.
Ketua Menteri menyifatkan kerjasama tersebut sebagai inisiatif pembangunan sumber manusia yang amat baik yang menyediakan, bukan sahaja pendidikan dan latihan, malah peluang untuk membangunkan kemahiran tenaga kerja kepada pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Di bawah perjanjian itu, UTP dan UCSF akan menawarkan Program Asas UCSF-UTP, iaitu program satu tahun berdasarkan struktur kurikulum Yayasan UTP, kepada pelajar cemerlang SPM dari Sabah untuk mengikuti pengajian asas di UCSF.
Lepasan kursus akan berpeluang melanjutkan pengajian dalam ijazah sarjana muda program sains dan kejuruteraan di kampus UTP di Perak.