6 positif dadah antara 25 individu ditahan dalam Ops Bersepadu
19:02 Feb 09, 2024  |  By SabahKini2
6 positif dadah antara 25 individu ditahan dalam Ops Bersepadu

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, hasil Op Bersepadu terbabit, seramai 25 individu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 19

KUDAT: Seramai 25 individu termasuk enam positif dadah ditahan dalam satu Operasi Bersepadu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kudat bersama tiga agensi sahabat di Kudat, di sini Rabu lalu.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, operasi berkenaan telah dijalankan bersama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) berdasarkan maklumat perisikan yang telah diperolehi sebelum ini.

“Sekitar jam 8 pagi, pegawai dan anggota dari semua agensi yang terlibat telah diatur gerak ke kawasan persekitaran Jeti Nelayan Kudat dan pemeriksaan telah dilakukan oleh pasukan serbuan dari darat.

“Sementara itu, tiga aset ronda Zon Maritim Kudat turut diatur gerak bagi melakukan pengawasan serta pemantauan dan seterusnya membuat pemeriksaan di kawasan perairan berhampiran.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, terdapat beberapa individu yang bertindak terjun ke laut dan bersembunyi di antara ruang sempit bot-bot nelayan bagi mengelak daripada diperiksa. Walau bagaimanapun, dengan kehadiran anggota yang ramai serta bantuan pengawasan dan pemantauan aset ronda di laut, individu-individu gagal melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari in

Maurice berkata, hasil Op Bersepadu terbabit, seramai 25 individu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Katanya, ini termasuk dua warga tempatan yang didapati positif dadah jenis Methamphetamine melalui saringan urin oleh pihak AADK.

“Kesemua suspek ditahan seterusnya diserahkan kepada pihak berwajib untuk tindakan lanjut. Kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 Seksyen 6 (1) (c) kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah sewaktu diperiksa dan Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan), 1983 kerana disyaki penagih Dadah.

“Maritim Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua agensi sahabat yang terlibat dalam menjayakan Operasi Bersepadu ini. Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa demi memastikan keselamatan di Zon Maritim Malaysia terutamanya di daerah Kudat sentiasa terjamin,” katanya.

Comment