JKKK main peranan penting penghubung kerajaan dengan rakyat – Hajiji
17:02 Feb 14, 2024  |  By SabahKini2
JKKK main peranan penting penghubung kerajaan dengan rakyat – Hajiji

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, tugas ini antara keutamaan untuk memastikan rakyat tidak mudah terpengaruh dengan anasir jahat yang sentiasa berusaha memecahbelahkan rakyat serta menggugat kestabilan negara.

TUARAN: Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) diminta melaksanakan peranan selaku ejen transformasi dan wakil kerajaan dalam memberi penerangan dan maklumat tepat kepada rakyat.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, tugas ini antara keutamaan untuk memastikan rakyat tidak mudah terpengaruh dengan anasir jahat yang sentiasa berusaha memecahbelahkan rakyat serta menggugat kestabilan negara.

"Salah satu tugas utama adalah untuk menjalinkan hubungan erat dan perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

“JKKK juga berperanan membantu kerajaan mendedahkan dasar serta pembangunan yang sudah dibawa dan akan dilaksanakan di negeri ini, khususnya inisiatif Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ)," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di majlis penyampaian watikah pelantikan (2023-2025) kepada JKKK bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman dan Pantai Dalit di Dewan Seri Sulaman di sini.

Hajiji berkata, semua pengerusi JKKK serta ahli-ahlinya juga diminta agar sentiasa menjalankan perancangan strategik, menunjukkan kesungguhan dan ketekunan serta mengamalkan semangat bekerjasama sebagai satu pasukan dalam usaha meningkatkan taraf hidup rakyat selain membangunkan kawasan masing-masing.

"Saya perlukan JKKK yang aktif dan komited dalam membuat perancangan dan perlaksanaan program atau projek di kawasan kampung dengan penglibatan komuniti setempat.

"Jangan pula apabila dilantik sebagai pemimpin, hanya mahu fikir projek sahaja dan tidak mahu turun padang, enggan bekerjasama termasuk meminggirkan penduduk yang tidak sehaluan dengan kerajaan. 

“Pengerusi dan ahli jawatankuasa JKKK perlu peka dengan setiap masalah penduduk di kawasan masing-masing dan menyampaikan maklumat berkaitan bantuan kerajaan kepada rakyat," katanya.

Tambahnya, institusi JKKK adalah satu entiti atau jentera yang amat penting di peringkat akar umbi.

“Sejak penubuhannya pada 1962, peranan dan fungsi JKKK terus relevan sehingga ke hari ini sebagai mata dan telinga serta penghubung antara kerajaan dengan rakyat sehingga ke akar umbi.

“Kerajaan negeri terus komited untuk memperkukuhkan institusi ini khususnya dalam aspek kepimpinan dan kecekapan tadbir urus kampung.

“Usaha ini seiring dengan komitmen kerajaan negeri yang komited untuk memastikan pembangunan ekonomi di kawasan bandar dan luar bandar diurus dengan sebaik mungkin dengan bantuan yang padu daripada JKKK,” katanya.

Beliau juga menyarankan semua wakil rakyat agar melibatkan JKKK dalam setiap perancangan dan pelaksanaan pembangunan di luar bandar.

Tambahnya, pengerusi JKKK dan ahli jawatankuasa juga diminta mengaktifkan semua biro agar tidak menghalang usaha kerajaan membangunkan negeri dan membantu rakyat.

Menurutnya, terdapat 11 Biro Ahli Jawatankuasa dalam organisasi JKKK antaranya Biro Pembangunan Prasarana, Keselamatan dan Kesihatan, Pengurusan Kewangan, Ekonomi dan Keusahawanan, Kesejahteraan dan Keceriaan, Pendidikan dan Inovasi, Kebajikan dan Kesukarelawan serta Hal Ehwal Wanita dan Keluarga.

Hajiji berkata, peranan biro-biro ini akan membawa satu tranformasi dan impak yang besar dalam membantu Pelan Hala Tuju SMJ yang diterajui Kerajaan GRS dalam menyantuni dan membantu rakyat.

"Saya berharap agar semua JKKK berusaha meningkatkan pengetahuan dan kemahiran secara berterusan untuk memperkukuh keupayaan serta kompetensi sebagai pemimpin dan pentadbir di peringkat paling asas," katanya.

Comment