Rekod Buruk Mahathir dan Pakatan Dalam Mengurus Hutang
09:03 Mar 15, 2018  |  By SabahKini2
Rekod Buruk Mahathir dan Pakatan Dalam Mengurus Hutang

Cuba bandingkan kadar 103.4% dan 60% di atas dengan Nisbah Hutang Kepada KDNK kita sekarang yang sentiasa konsisten pada 50%.

Rasa lucu melihat kenyataan terkini Tun Dr Mahathir yang mendakwa bahawa kononnya manifesto Pakatan akan berjaya mengurangkan hutang Kerajaan Persekutuan.

Manifesto Pakatan untuk PRU14 ini jika diteliti hanyalah berkisar mengenai hasrat mereka yang ingin memansuh atau menghapuskan pelbagai perkara dan dalam masa yang sama menawarkan pelbagai bentuk dedak kepada rakyat termasuklah yang tak masuk akal seperti bayaran RM250 sebulan untuk setiap pekerja yang menerima upah pada kadar yang minimum.

Malah hakikatnya, dalam manifesto tersebut, tiada pun penjelasan tentang bagaimana mereka bercadang untuk mengurangkan defisit ataupun hutang kerajaan.

Rekod prestasi Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang sejak ia jatuh ke bawah kawalan mereka pada tahun 2008 merupakan petunjuk jelas bahawasanya Pakatan akan gagal membiayai perbelanjaan tahunan. Di mana perbelanjaan operasi tahunan bagi kedua-dua negeri telah meningkat dengan ketara khususnya Kerajaan Pulau Pinang yang melonjak tinggi dengan peningkatan sebanyak 500% sejak 2008!

Dan bagi membiayai jumlah perbelanjaan yang melambung ini, Kerajaan Pulau Pinang terpaksa menjual dan menggadaikan tanah dan aset negeri yang bernilai hampir RM40 bilion, dalam pada kedua-dua kerajaan negeri itu juga telah menaikkan kadar caj yang dikenakan ke atas pemaju dan hartanah yang menyumbang kepada kenaikan kosnya.

Kerajaan DAP Pulau Pinang telah menjual banyak tanah sejak mengambil alih pada tahun 2008. Saya anggarkan bahawa kini hanya berbaki kurang daripada 5% tanah di Pulau Pinang yang masih dimiliki oleh kerajaan negeri, berbanding 18% pada tahun 2008.

Rakyat mungkin masih belum merasakannya hari ini tetapi ia pasti akan memberi kesan buruk kepada generasi yang akan datang. Semuanya itu gara-gara mereka (Pakatan) terdesak dan terpaksa mencari sumber untuk membiayai perbelanjaan operasi tahunan yang melonjak naik sebanyak 500%.

Di Pulau Pinang, kebanyakan caj pemaju telah meningkat sebanyak dua dan tiga kali ganda, dan kos ini pula akhirnya akan terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Peningkatan kos ini pula telah membawa kepada penetapan kadar cukai setinggi RM120 untuk setiap kaki persegi ke atas hartanah di Pulau Pinang, yang kemudiannya akan ditanggung oleh rakyat sama ada dalam bentuk pinjaman harta tanah yang lebih tinggi, ataupun peningkatan kadar sewa yang sekaligus mengakibatkan kenaikan kos sara hidup rakyat.

Selain itu, ramai yang telah mula sedar bahawa penurunan sebanyak 95% jumlah hutang Kerajaan negeri Pulau Pinang yang sentiasa dicanangkan DAP malah mereka cuba pula mengambil kredit daripadanya itu sebenarnya bukannya atas inisiatif ataupun usaha DAP dan Pakatan. Sebaliknya penurunan itu berlaku adalah disebabkan oleh tindakan Kerajaan Persekutuan yang mengubah hutang air kerajaan Pulau Pinang menjadi kaedah pembayaran pajakan tahunan untuk tempoh selama 45 tahun.

Dalam tahun kedua selepas Azmin Ali dilantik sebagai Menteri Besar, Selangor juga telah kembali menjadi negeri yang defisit pada tahun 2016. Dalam masa yang sama, Azmin juga telah menandatangani satu perjanjian untuk meminjam sebanyak RM7 bilion daripada Kerajaan Persekutuan untuk melakukan penstrukturan semula kemudahan air Selangor.

Bagi Tun Mahathir pula, rekod pengurangan hutangnya adalah terlalu lemah. Sejak tahun 1981 sehingga 2003, Tun Mahathir telah meningkatkan saiz hutang kerajaan sebanyak 706%.

Dalam tempoh 6 tahun terakhir beliau sebagai Perdana Menteri, iaitu dari tahun 1998 hingga 2003, Mahathir telah meningkatkan hutang kerajaan sebanyak 112% apabila beliau secara konsistennya mengamalkan belanjawan yang defisit pada kadar antara 4% hingga 6%, berbanding dengan kadar defisit bajet semasa yang hanya pada kadar serendah antara 2.8% hingga 3% yang kita amalkan kini.

Tambahan lagi, hakikat bahawasanya dalam 6 tahun pertama beliau berkuasa, Mahathir malah telah menggandakan Nisbah Hutang Kepada KDNK (Debt to GDP ratio) kita lebih daripada dua kali ganda iaitu daripada hanya 44% pada tahun 1980 kepada setinggi 103.4% pada tahun 1986! Nisbah ini juga kekal berada di atas 60% selama lebih daripada satu dekad di bawah Tun Mahathir.



Akibatnya, Kadar Pembayaran Hutang Negara (nisbah jumlah bayaran hutang kerajaan berbanding dengan KDNK) kita adalah setinggi 31.8% pada tahun 1987 dan kekal melebihi 20% selama bertahun-tahun.

Cuba bandingkan kadar 103.4% dan 60% di atas dengan Nisbah Hutang Kepada KDNK kita sekarang yang sentiasa konsisten pada 50%.

Kemudian bandingkan pula Kadar Pembayaran Hutang Negara yang setinggi 31.8% dan 20% semasa era Tun Mahathir di atas dengan Kadar Pembayaran Hutang Negara di bawah PM Najib yang kini stabil pada kadar 12%.

Satu-satunya masa di mana hutang kerajaan melonjak dengan ketara di era Najib adalah ketika beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri pada tahun 2009, di mana beliau telah memperkenalkan 3 pakej rangsangan ekonomi yang menyebabkan hutang kita melonjak dari 40% kepada 50.8% dalam tempoh satu tahun. Semua itu berpunca daripada kejatuhan dalam pelaburan dan jumlah eksport semasa dunia dilanda Kemelesetan Ekonomi yang teruk (yang terburuk sejak 1930) antara tahun 2007 dan 2012. Pada masa inilah kerajaan Amerika Syarikat sendiri hinggakan terpaksa menjamin/menyelamatkan (bailout) Citibank, General Motors, AIG dan banyak lagi.

Disebabkan pakej-pakej rangsangan tersebut, yang telah mengepam sejumlah besar wang ke dalam ekonomi kitalah, maka ekonomi Malaysia berjaya dipulihkan dengan cepat, lebih cepat berbanding negara-negara kuasa ekonomi dunia. Walaupun ramai yang tidak menyedari akan skala dan saiz kemusnahan yang mungkin berpotensi untuk berlaku sekiranya langkah-langkah rangsangan (3 Pakej Ransangan) yang meningkatkan hutang itu tidak diambil.

Ironinya, ramai rakyat Malaysia yang menyalahkan PM Najib kerana meningkatkan hutang kerajaan itu sebenarnya telah menyalahkan beliau atas 'kesalahan' telah menyelamatkan ekonomi Malaysia pada tahun 2009.

Berdasarkan rekod pencapaian Mahathir dan Pakatan serta manifesto "mansuh everything" mereka yang tidak bertanggungjawab itu, bolehlah kita anggap bahawasanya sekiranya mereka berjaya, maka hutang kerajaan hampir pasti akan meroket tinggi.

Eric See-To
Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BNSC) 

Comment