Jabatan Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah akan ditubuhkan tahun ini
20:02 Feb 14, 2024  |  By SabahKini2
Jabatan Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah akan ditubuhkan tahun ini

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, cadangan penubuhan Jabatan Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah ini juga adalah satu transformasi yang memartabatkan Undang-Undang Adat Anak Negeri.

TUARAN: Kerajaan negeri komited menjayakan cadangan penubuhan Jabatan Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, cadangan penubuhan Jabatan Kehakiman Mahkamah Anak Negeri Sabah ini juga adalah satu transformasi yang memartabatkan Undang-Undang Adat Anak Negeri.

Katanya, penubuhan ini sekali gus memberikan imej yang berprestij dan berkaliber kepada Ketua Adat di mahkamah.

“Kerajaan negeri amat menitikberatkan kepentingan pemerkasaan Mahkamah Anak Negeri.

"Sebuah jawatankuasa khas melalui Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) juga sudah ditubuhkan bagi penggubalan, pindaan dan penyemakkan enakmen serta ordinan berkaitan.

"Usaha ini adalah bagi menaiktaraf sistem kehakiman Mahkamah Anak Negeri yang setaraf dengan Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian penangguhan kursus Transformasi Kepimpinan Ketua-Ketua Adat Cemerlang di Dewan Kebudayaan Pusat Rumpun Bajau Samah, Kampung Lok Batik di sini.

Kursus dihadiri 258 Ketua Adat daripada tiga Ketua Daerah, 20 Ketua Anak Negeri, 40 Wakil Ketua Anak Negeri, 194 Ketua Kampung dan seorang Ketua Masyarakat Cina mewakili empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pantai Dalit, Sulaman, Tamparuli dan Kiulu.

Hajiji berkata, Ketua Adat boleh memainkan peranan strategik dalam membimbing, menyokong dan mendorong bagi pemerkasaan masyarakat tempatan. 

Menurutnya, peranan ini membolehkan masyarakat secara keseluruhannya menyumbang kepada agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Beliau turut mengucapkan syabas kepada Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) khususnya Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri Sabah (ILMAN) kerana berjaya menganjurkan kursus ini melalui kerjasama Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah dan Pejabat Daerah Tuaran.

Katanya, usaha ini adalah satu langkah penting dalam memastikan Ketua Adat dilengkapi dengan pengetahuan dan kefahaman untuk menghadapi cabaran baharu.

"Ini turut membantu memastikan Undang-Undang Adat Anak Negeri sentiasa dipatuhi dan dihormati.

"Saya berharap semua Ketua Adat yang menghadiri kursus ini mempraktikkan segala dapatan ilmu pengetahuan sebagai landasan memantapkan adat di tempat masing-masing.

"Peranan Ketua Adat dan Ketua Kampung kini semakin mencabar sekali gus memerlukan kebijaksanaan memimpin bagi mewujudkan masyarakat yang harmoni, aman dan bersatu padu,” katanya.

Beliau juga berharap agar Mahkamah Anak Negeri Tuaran, Kiulu dan Tamparuli dijadikan sebagai penanda aras (benchmark) kepada Mahkamah Anak Negeri lain yang ada di Sabah dalam melaksanakan amalan terbaik melalui dapatan sepanjang kursus ini.

1 Comment