Memecut laju selepas diekori kenderaan JPJ, 2 maut
16:02 Feb 15, 2024  |  By SabahKini2
Memecut laju selepas diekori kenderaan JPJ, 2 maut

Dalam kejadian jam 5.08 petang itu, pemandu, Mohd Khairul Abdullah, 19 dan penumpang Norsiah @Bibi Faizal, 14, disahkan meninggal di tempat kejadian akibat parah.

SIPITANG: Kereta Proton Saga yang melanggar pokok tumbang di Jalan Jeti SFI, di sini, petang tadi, hingga menyebabkan dua maut, dipercayai memecut laju sebaik menyedari kereta mereka diekori kenderaan Jalan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Dalam kejadian jam 5.08 petang itu, pemandu, Mohd Khairul Abdullah, 19 dan penumpang Norsiah @Bibi Faizal, 14, disahkan meninggal di tempat kejadian akibat parah. Tiga lagi penumpang hadapan dan belakang masing-masing berusia lapan, 16 dan 17 tahun parah dan cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Deputi Superintendan Mail Sundongi berkata pihaknya menerima panggilan daripada anggota JPJ Sipitang memaklumkan ada kes kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Proton Saga dinaiki lima individu.

Katanya, dalam kemalangan itu, pemandu dan penumpang belakang meninggal dunia manakala dua parah dan seorang cedera ringan.

"Hasil siasatan awal, kereta dinaiki mangsa dari sebuah pasar raya dan menghala pulang ke Kampung Sibubu, Jalan SFI.

"Ketika kereta dinaiki kelima-lima individu terbabit dalam perjalanan pulang, sebuah kenderaan milik JPJ Sipitang yang sedang tugas rondaan mengekori kereta mereka dan memasang 'beacon light'.

"Apabila pemandu Proton Saga melihat kenderaan JPJ, dia terus memecut laju dan sebaik tiba di jalan selekoh menuruni bukit kereta itu hilang kawalan hingga menyebabkan terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan melanggar pokok tumbang dibahu jalan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mail berkata dua mangsa tersepit dikeluarkan pasukan bomba manakala mangsa yang cedera dibawa ambulans ke Hospital Sipitang untuk rawatan lanjut.

"Kebiasannya JPJ memasang 'beacon light' supaya kenderaan berkenaan berhenti. Bagaimanapun siasatan masih dijalankan.

"Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Sipitang untuk proses bedah siasat," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Terdahulu, tular beberapa rakaman video memaparkan mangsa yang terselamat mendakwa kereta dinaiki mereka 'dikejar' kenderaan JPJ.

Comment