Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata kerajaan telah bersetuju untuk menyelaras harga lantai belian padi di kedua-dua negeri itu daripada RM900 kepada RM1,300.
KOTA KINABALU: Penetapan harga lantai belian padi kepada RM1,300 per tan metrik di Sabah dan Sarawak yang berkuat kuasa hari ini, dijangka mampu meningkatkan lagi pendapatan pesawah di kedua-dua negeri itu.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup berkata kerajaan telah bersetuju untuk menyelaras harga lantai belian padi di kedua-dua negeri itu daripada RM900 kepada RM1,300 agar ia selaras dengan harga lantai belian padi di Semenanjung.
Berdasarkan unjuran Bahagian Pembangunan Industri Padi, Arthur berkata penetapan harga lantai belian padi baharu itu akan dapat meningkatkan pendapatan kasar pesawah di Sabah kepada hampir 50 peratus setahun iaitu daripada RM6,681 per hektar kepada RM10,375 per hektar.
Di Sabah, sebanyak 17,298 pesawah padi (bukan padi huma) akan menerima manfaat daripada peningkatan pendapatan seiring dengan harga lantai belian padi baharu itu.
"Saya berharap ia dapat menyeragamkan harga antara Sabah, Sarawak dan Semenanjung, menggalakkan lebih ramai pesawah menanam padi, sekali gus meningkatkan pengeluaran hasil padi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2024 bersama agensi Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Sabah di sini hari ini.
Arthur menyifatkan langkah menyeragamkan harga minimum terjamin di Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung mampu menyokong industri padi dan beras di kedua-dua negeri itu supaya terus kekal mampan serta berdaya saing selaras dengan hasrat kementerian untuk meningkatkan pengeluaran beras negara.
Selain itu, beliau berkata kerajaan juga menyediakan beberapa insentif input bagi membantu mengurangkan kos pengeluaran padi ditanggung para pesawah iaitu Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan, Skim Insentif Pengeluaran Padi, Skim Subsidi Baja dan Racun Padi Bukit, serta Skim Subsidi Harga Padi.
Penetapan harga lantai belian padi hanya melibatkan beras putih dan tidak termasuk beras istimewa atau tradisional yang dikeluarkan di Sabah dan Sarawak.
Terdahulu, Arthur ketika menyampaikan amanat itu berkata KPKM akan memberi fokus utama kepada pembangunan industri padi, industri ayam dan telur ayam, industri bawang serta industri nanas pada tahun ini bagi memastikan sekuriti makanan negara berada pada tahap terbaik.
Beliau berkata KPKM juga akan menekankan pelaksanaan dan pembudayaan Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR) yang komprehensif terhadap semua fokus hala tuju ditetapkan mulai tahun ini hingga 2030.
Arthur turut berharap kerjasama antara KPKM dan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah diperkukuh antara lain untuk membangunkan tanah-tanah terbiar di Sabah dengan aktiviti pertanian agromakanan bagi melonjakkan potensi negeri itu sebagai hab pengeluaran agromakanan negara.
Hal ini termasuk memperkasa inisiatif "Gelombang Padi" ke arah menambah baik mekanisme pelaksanaan sedia ada dan memangkin transformasi industri padi dan beras negara, selain usaha meningkatkan produktiviti dan Tahap Sara Diri di Sabah, memandangkan purata hasil padi di negeri itu kini berada pada tahap rendah iaitu kira-kira 2.882 mt/ha, katanya.