'Akut' berjaya ditahan selepas pecah rumah
15:02 Feb 22, 2024  |  By SabahKini2
'Akut' berjaya ditahan selepas pecah rumah

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sabah, Senior Asisten Komisioner Azmi Abd Rahim, berkata suspek berusia 38 tahun diberkas pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) kira-kira jam 8.10 malam.

KOTA KINABALU: Selepas pecah rumah, menginap di hotel untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa - itu modus operandi seorang lelaki yang disyaki aktif melakukan kegiatan berkenaan di sekitar daerah ini.

Bagaimanapun, taktik suspek dikenali sebagai 'Akut' itu berjaya dikesan pasukan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah sebelum menahannya di lobi sebuah hotel di Sadong Jaya, di sini, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPK Sabah, Senior Asisten Komisioner Azmi Abd Rahim, berkata suspek berusia 38 tahun diberkas pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Khas (D9) kira-kira jam 8.10 malam.

Beliau berkata, tangkapan itu adalah hasil operasi dan maklumat berterusan yang diusahakan Bahagian Risikan/Operasi JSJ Sabah bagi membanteras jenayah pecah rumah di negeri ini.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati ada pelbagai barangan di dalam beg galas dan kereta sewa yang dipercayai barangan curi, bersama suspek.

"Antaranya kamera, kasut, satu unit penggera kereta, topeng dan peralatan disyaki untuk kegunaan mencuri. Turut dirampas ialah pakaian dan kasut yang dipercayai dicuri di Inanam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hasil soal siasat, beliau berkata, suspek mengaku dia bersama tiga lagi rakan jenayah yang masih bebas, telah melakukan kegiatan pecah rumah dan mencuri barang-barang di dalamnya.

"Suspek juga mengaku telah menjual beberapa barang yang dicuri.

"Suspek dan barang rampasan kemudian dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut," katanya.

Azmi berkata, pihaknya kini giat mengesan tiga lagi suspek disyaki terbabit kes pecah rumah di bandar raya ini.

"Polis percaya suspek adalah ahli geng pecah rumah yang terbabit beberapa kes. Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.

Kelmarin, pasukan D9 JSJ IPK Sabah memberkas tiga lelaki disyaki ahli kumpulan dikenali sebagai Geng Raqib yang dipercayai aktif melakukan pecah rumah di beberapa daerah di negeri ini.

Kesemua suspek itu termasuk lelaki dipercayai ketua kumpulan berkenaan, ditahan dalam dua serbuan berasingan di Beaufort dan Kota Kinabalu.

Comment