71 petugas PEMILU meninggal dunia kerana keletihan
15:02 Feb 22, 2024  |  By SabahKini2
71 petugas PEMILU meninggal dunia kerana keletihan

Pilihan raya terbaru itu masih meragut puluhan nyawa, walaupun selepas pemerintah menetapkan had umur untuk sukarelawan dan mewajibkan pemeriksaan kesihatan.

JAKARTA: Kerajaan Indonesia mengesahkan bahawa setakat ini, seramai 71 petugas meninggal dunia akibat keletihan berikutan pilihan raya sehari terbesar dunia di negara itu minggu lalu.

Sekitar 4,000 yang lain jatuh sakit dalam tempoh lima hari akibat keletihan selepas bertugas mengendalikan pilihan raya Indonesia pada 14 Februari, kata pengerusi badan pilihan raya negara itu, Hasyim Asy'ari, dalam sidang media di Jakarta.

Pilihan raya terbaru itu masih meragut puluhan nyawa, walaupun selepas pemerintah menetapkan had umur untuk sukarelawan dan mewajibkan pemeriksaan kesihatan selepas lebih 500 pekerja pusat mengundi meninggal dunia dalam pilihan raya 2019.

Seramai lima juta orang dibayar untuk bekerja di 800,000 pusat mengundi di serata negara itu dalam pengundian minggu lalu yang berlangsung kira-kira enam jam.

Lebih daripada 200 juta rakyat telah didaftarkan untuk membuang undi mereka untuk memilih presiden, naib presiden serta penggubal undang-undang pada peringkat nasional serta tempatan.

Berdasarkan pengiraan pantas, Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto dan pasangannya, Gibran Rakabuming Raka, telah mengisytiharkan kemenangan selepas meraih 59.17 peratus undi. Keputusan rasmi hanya akan diumumkan pada 20 Mac.

Comment