JKDM Sabah rampas dadah 205kg, bernilai RM6.85 juta
18:02 Feb 23, 2024  |  By SabahKini2
JKDM Sabah rampas dadah 205kg, bernilai RM6.85 juta

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, semua dadah itu dibungkus menggunakan bungkusan teh cina, dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa sebelum dimuatkan dalam kotak itu.

KOTA KINABALU: Cubaan menyeludup sejumlah 205 kilogram (kg) dadah jenis syabu ke negeri ini, gagal selepas berjaya dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Sabah, 15 Februari lalu.

Semua dadah yang diletakkan dalam 15 kotak bernilai RM6.85 juta, dirampas dalam operasi dijalankan pada 9.10 pagi di sebuah premis di HS Commercial Centre, Penampang.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, pada awalnya, JKDM mengesan 15 kotak mencurigakan di gudang Pos Aviation Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Katanya, hasil imbasan dan pemeriksaan lanjut mendapati semua kotak berkenaan mengandungi dadah jenis Methamphetamine.

"Bagaimanapun, selepas tiga hari, semua kotak itu tidak dituntut dan serbuan terus dilakukan untuk merampas barang yang dijalankan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (Cobra)," katanya pada sidang media di Wisma Penguatkuasaan Sepanggar, di sini, hari ini.

Mohd Nasir berkata, semua dadah itu dibungkus menggunakan bungkusan teh cina, dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa sebelum dimuatkan dalam kotak itu.

Katanya, modus operandi sindiket menghantar bekalan dadah melalui perkhidmatan kurier bagi mengelak daripada dikesan dan setakat ini belum ada tangkapan dibuat.

"Penerima bagi bungkusan ini juga sukar dikesan berikutan sindiket hanya menggunakan alamat pejabat premis penghantar barang dan bungkusan akan dituntut sendiri di premis terbabit.

"Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya yang memberitahu rampasan itu yang terbesar bagi tahun ini dan jika terlepas, ia boleh menjejaskan lebih 600,000 penagih," katanya.

Menurutnya, pasukan Cobra yang berfungsi sebagai penggempur dan pelindung Bahagian Penguatkuasaan JKDM diyakini mampu mengekang sebarang cubaan membawa masuk dadah.

Beliau juga memohon orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menyalurkan kepada pihaknya bagi membantu membanteras sebarang aktiviti penyeludupan.

Katanya, maklumat boleh disalur dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat JKDM yang terdekat.

Comment