510 paket minyak masak bersubsidi gagal diseludup keluar
14:02 Feb 27, 2024  |  By SabahKini2
510 paket minyak masak bersubsidi gagal diseludup keluar

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa muatan 30 kotak besar berisi 510 paket minyak masak bersubsidi seberat satu kilogram setiap satu.

SANDAKAN: Cubaan menyeludup keluar 510 paket minyak masak bersubsidi gagal selepas sebuah bot ditahan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), di sini semalam.   

Bot yang berdaftar atas lesen kargo itu ditemukan terdampar apabila pengendalinya dipercayai melarikan diri selepas menyedari kehadiran pasukan Maritim Malaysia di pesisir pantai Pulau Berhala, kira-kira jam 10.20 malam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, bot berkenaan ditinggalkan pemiliknya selepas menyedari kehadiran anggota penguatkuasa melakukan rondaan.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan membawa muatan 30 kotak besar berisi 510 paket minyak masak bersubsidi seberat satu kilogram setiap satu.

“Kita percaya semua minyak masak paket itu disyaki untuk diseludup keluar ke negara jiran berdasarkan kuantiti yang ditemukan.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk minyak masak bersubsidi, bot dan enjin sangkut dianggarkan bernilai RM11,000,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Menurutnya, semua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan selanjutnya.

“Siasatan lanjut akan dilakukan bagi mengesan pemilik bot, dalang serta pelaku disebalik kegiatan penyeludupan ini.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Comment