Sabah umum zakat fitrah RM7.50
22:03 Mar 05, 2024  |  By SabahKini2
Sabah umum zakat fitrah RM7.50

Kadar zakat fitrah itu diumumkan Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin dalam satu majlis Pengisytiharan Zakat Fitrah 1445 Hijrah / 2024 Masehi di ibu negeri, hari ini.

KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) mengumumkan kadar zakat fitrah di Sabah pada tahun ini ditetapkan pada kadar RM7.50.

Kadar zakat fitrah itu diumumkan Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin dalam satu majlis Pengisytiharan Zakat Fitrah 1445 Hijrah / 2024 Masehi di ibu negeri, hari ini.

Mengulas lanjut Yahya berkata, kadar zakat fitrah yang ditetapkan itu, adalah berasaskan sukatan satu gantang baghdad atau bersamaan 2.7 kilogram (kg) beras yang dimakan majoriti penduduk negeri Sabah.

Dalam perkembangan berkaitan, Yahya memaklumkan jumlah keseluruhan pungutan zakat bagi negeri Sabah pada tahun 2023 adalah sebanyak RM145,302,446.72 membabitkan zakat fitrah sebanyak RM11,251,061.26 dan zakat harta, RM134,051,385.46.

"Manakala, jumlah pembayar zakat fitrah untuk tahun sama adalah seramai 1,607,201 orang, meningkat 46,587 orang pembayar atau 2.99 peratus berbanding 1,560,614 orang pada tahun 2022 lalu," katanya.

Hadir sama Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Ruslan Muharam, Timbalan YDP Muis, Datuk Malai Ali Malai Ahmad dan YDP Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi Ahmad.

Dalam pada itu, Yahya memberitahu, Bahagian Zakat dan Fitrah Muis berjaya membuat agihan sebanyak RM140,953,600.96 kepada seramai 110,459 asnaf pada tahun lalu.

Katanya, manakala lebihan yang tidak sempat diagihkan pada hujung tahun lalu telah mula diagihkan pada awal tahun ini.

"Sepanjang Ramadan tahun ini juga Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS telah memperuntukkan sebanyak RM19.6 juta untuk diagihkan kepada empat golongan asnaf.

"RM18.1 juta akan diagihkan kepada 12,409 orang Asnaf Fakir, 31,268 orang Asnaf Miskin dan Asnaf Mualaf seramai 3,402 orang, manakala RM1.5 juta akan diagihkan kepada 2,200 wakil amil sebagai upah amil bertugas," katanya.

Katanya lagi, MUIS pada tahun ini menyasarkan pungutan zakat dan fitrah sebanyak RM156,725,000 di mana pungutan zakat fitrah dijangka berjumlah RM11,725,000 manakala pungutan zakat harta dijangka berjumlah RM145 juta.

Comment