Edar syabu hampir 200kg, mekanik dijatuhkan hukuman mati
20:03 Mar 08, 2024  |  By SabahKini2
Edar syabu hampir 200kg, mekanik dijatuhkan hukuman mati

Hukuman itu diputuskan Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng ke atas Tai Chee Khiong selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

TAWAU: Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas seorang mekanik atas kesalahan mengedar dadah jenis syabu seberat hampir 200 kilogram (kg) dua tahun lalu.

Hukuman itu diputuskan Hakim Datuk Dr Lim Hock Leng ke atas Tai Chee Khiong selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Ketika membacakan keputusan, hakim berkata, tertuduh didapati mempunyai pengetahuan dan milikan secara langsung terhadap dadah jenis methamphetamine seberat 199,950.01 gram dan mensabitkannya dengan pertuduhan.

Walaupun ia kesalahan pertama tertuduh, Hock leng berkata dalam menjatuhkan hukuman itu mahkamah mengambil kira jumlah berat dadah yang terbabit dalam kes ini iaitu terbesar di Sabah setakat ini.

Jelasnya lagi, sepanjang tempoh tiga tahun kebelakangan ini Mahkamah Tinggi Tawau pernah mensabitkan kesalahan berkaitan kes dadah masing-masing membabitkan berat antara 4kg hingga 35kg, namun ia masih belum dapat menyamai berat dadah terbabit dalam kes ini.

Sejurus keputusan dibacakan, Chee Khiong yang berada di kandang tertuduh kelihatan sugul dengan sesekali dilihat menundukkan wajahnya ke lantai sambil menghela nafas panjang.

Tertuduh juga tidak memberi sebarang respon ketika diberi peluang sebelum hakim menjatuhkan hukuman ke atasnya.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah di kawasan Kampung Batu Payung dekat sini, pada 7.30 malam, 6 September 2021.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau jika tidak dijatuhkan hukuman mati, dihukum tidak kurang 15 sebatan.

Prosiding perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hurman Hussain bersama Timbalan Pendakwa Raya Mohd Suhaimi Suriana, manakala tertuduh diwakili peguam, Darmin Acok.

Terdahulu, Hurman dalam hujahnya berkata, meskipun budi bicara terletak kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman, pihaknya memohon hukuman gantung sampai mati dikenakan mengambil kira jumlah berat dadah terbabit selain faktor kepentingan awam.

Selain itu, katanya, berdasarkan keterangan saksi pendakwaan yang juga juruanalisis Jabatan Kimia Malaysia Sabah mendapati kes ini juga membabitkan jumlah sampel dadah (untuk dianalisa) dan jumlah sampel positif terbesar pernah direkodkan oleh Jabatan berkenaan.

Untuk rekod, sabitan kes itu juga yang pertama di Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhkan hukuman mati selepas pemansuhan hukuman mati mandatori yang berkuatkuasa 4 Julai 2023.

1 Comment