RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 lindungi kedaulatan negara
15:03 Mar 13, 2024  |  By SabahKini2
RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 lindungi kedaulatan negara

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata tindakan pembiaya litigasi pihak ketiga yang tidak beretika, berisiko memberi ancaman serius terhadap kedaulatan dan negara.

KUALA LUMPUR: Kerajaan dalam usaha mewujudkan kawal selia yang ketat dalam memastikan kepentingan sesebuah negara dan rakyatnya dipelihara daripada tuntutan pihak luar yang tidak bertanggungjawab bagi mengeksploitasi perundangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata tindakan pembiaya litigasi pihak ketiga yang tidak beretika, berisiko memberi ancaman serius terhadap kedaulatan dan negara.

Atas dasar itu, katanya, Rang Undang-Undng (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 yang akan dibentang bagi bacaan kali kedua di persidangan Dewan Rakyat kali ini, boleh mengawal selia kekebalan itu.

"RUU yang akan diperkenalkan buat kali pertama dalam sejarah Malaysia ini akan menerima pakai undang-undang adat antarabangsa (customary international law).

"Ini kerana meskipun peranan mereka membantu pihak yang tidak mampu mendapatkan keadilan tidak boleh dinafikan, namun ketiadaan suatu kerangka kawalan membolehkan mereka mengeksploitasi tuntutan perundangan yang remeh ataupun palsu.

"Pihak yang menyalahgunakan sistem perundangan ini menyasarkan negara berdaulat, demi kepentingan dan keuntungan," katanya melalui aplikasi X, hari ini.

Sebelum ini, United Tausug Citizens (UTC) membuat tuntutan sebanyak AS$15 bilion (RM70.2 bilion) ke atas Sabah, yang menyamai 16 peratus Belanjawan Negara.

Namun Malaysia tidak melayan sebarang tuntutan remeh oleh kumpulan digelar sebagai UTC yang mendakwa sebagai 'penjaga sah Wilayah Kesultanan Sulu' ke atas Sabah.

Pada masa sama, Azalina berkata tanpa kawal selia dan sistem pemantauan yang kukuh, tindakan pihak tidak beretika ini boleh menggugat keselamatan sesebuah negara.

Beliau berkata, tindakan ini bukan sahaja menggugat integriti sistem perundangan, tetapi juga boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat dan negara secara keseluruhan.

"Dalam hal ini, kawal selia yang ketat adalah wajar diwujudkan dalam memastikan kepentingan sesebuah negara dan rakyatnya sentiasa dipelihara," katanya.

November lalu, kerajaan membentangkan RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 bagi bacaan kali pertama bertujuan mengawal selia kekebalan yang diberi kepada sesebuah negara asing dan hartanya, ketua negara dan ketua kerajaan daripada bidang kuasa mahkamah Malaysia.

Akta itu juga bertujuan tiada tindakan praperbicaraan boleh dibawa, dimulakan atau dikekal terhadap harta sesebuah negara di hadapan mana-mana mahkamah, kecuali jika negara berkenaan bersetuju dengan pengambilan tindakan itu sebagaimana diperuntukkan dalam perjanjian antarabangsa.

Comment