Pembenihan awan di Sabah selepas penilaian kesesuaian
15:03 Mar 15, 2024  |  By SabahKini2
Pembenihan awan di Sabah selepas penilaian kesesuaian

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya, berkata proses itu dilaksanakan Jabatan Meteorologi menerusi kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah.

KOTA KINABALU: Pembenihan awan di kawasan terjejas teruk akibat kemarau di Sabah akan dilaksanakan selepas proses penilaian kesesuaian pembentukan awan selesai.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Shahelmey Yahya, berkata proses itu dilaksanakan Jabatan Meteorologi menerusi kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah.

"Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri sedang berurusan dengan Jabatan Meteorologi untuk menilai kesesuaian pembentukan awan bagi tujuan pembenihan awan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada 7 Mac lalu, Shahelmey memaklumkan kerajaan negeri bersetuju melaksanakan pembenihan awan bagi menghasilkan hujan untuk menambah paras air sungai dan sumber air graviti penduduk.

Katanya, langkah itu juga bagi mengurangkan tahap kemasinan air Sungai Papar, yang menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Limbahau terpaksa ditutup sekali gus menjejaskan lebih 50,000 pengguna di daerah Papar.

Beliau berkata, situasi kemarau yang berlarutan menyebabkan paras air sungai mulai menyusut, selain berlaku peningkatan tahap kemasinan berikutan kemasukan air laut.

"Kabinet negeri bersetuju agar kita melaksanakan pembenihan awan di kawasan hulu sungai supaya air dapat bertambah dan seterusnya boleh memberi bekalan air kepada LRA yang terkesan dan mereka yang menggunakan air graviti," katanya.

Berdasarkan laporan Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, setakat ini sungai di lima daerah dikesan mengalami penyusutan paras air antara 10 peratus hingga 40 peratus.

Sungai terbabit terletak di daerah Kota Belud, Keningau, Membakut, Tambunan dan Kota Marudu.

Comment