RM17 bilion dilabur syarikat China bantu atasi isu banjir, pengairan di Sabah
16:03 Mar 15, 2024  |  By SabahKini2
RM17 bilion dilabur syarikat China bantu atasi isu banjir, pengairan di Sabah

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata syarikat terbabit, Shaanxi Construction Engineering Group Corporation Limited's (SCEGCL) akan melaksanakan projek mitigasi banjir, pengairan dan perparitan termasuk untuk penanaman padi.

KOTA KINABALU: Sabah menyasarkan dapat mengatasi masalah pengairan pertanian untuk jaminan makanan, selain isu banjir di beberapa kawasan di negeri ini menerusi pelaburan mencecah RM17 bilion yang bakal dibawa masuk sebuah syarikat dari China.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, berkata syarikat terbabit, Shaanxi Construction Engineering Group Corporation Limited's (SCEGCL) akan melaksanakan projek mitigasi banjir, pengairan dan perparitan termasuk untuk penanaman padi.

Katanya, syarikat itu, menerusi syarikatnya di Malaysia, Shaanxi Construction Engineering (Malaysia) Sdn Bhd (SCEM) bekerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah bagi melaksanakan projek itu di 11 sungai utama di Sabah.

"SCEM akan melaksanakan usaha wajar atau kajian berhubung kerja mitigasi banjir, pengairan dan perparitan di Sabah yang merangkumi beberapa sungai di negeri ini.

"Sebanyak 11 sungai yang disenaraikan iaitu Sungai Moyog di Penampang, Sungai Petagas dan Sungai Putatan di Putatan, Sungai Likas di Kota Kinabalu, Sungai Tawau di Tawau dan Sungai Kadamaian di Kota Belud.

"Selebihnya ialah Sungai Bandau di Kota Marudu, Sungai Membakut di Membakut, Sungai Padaa di Tenom, Sungai Pegalan di Keningau dan Sungai Bengkoka di Pitas," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) di antara SCEM dan JPS Sabah, di sini, hari ini.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, berkata SCEM dijadual memulakan usaha wajar pada suku keempat tahun ini sebelum diteruskan dengan pelaksanaan projek mitigasi dan pengairan yang dicadangkan.

Katanya, SCEM mempunyai sumber kewangan dan keupayaan teknikal untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan Sabah bagi menyiapkan projek mitigasi banjir, pengairan dan perparitan yang dirancang di negeri ini.

"Ini juga selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk meluaskan kawasan penanaman padi daripada 24,000 hektar kepada 30,000 hektar pada tahun ini bagi mengurangkan pergantungan kita terhadap beras import dan memastikan jaminan makanan di Sabah," katanya.

Pada masa yang sama, Jeffrey berkata pelaksanaan projek itu dijangka mampu menjana lebih 20,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah, selain mampu mengembangkan ekonomi Sabah antara tiga hingga lima kali ganda.

Sementara itu, ditanya pulangan pelaburan yang bakal diperolehi SCEM, Jeffrey berkata syarikat berkenaan dibenarkan mengambil pasir di sungai yang terbabit dengan projek itu untuk kegunaan mereka.

Shaanxi Construction Engineering Group adalah syarikat terkemuka di China yang tersenarai dalam Fortune 500 Company dan terbabit dalam pelbagai aktiviti pembinaan termasuk infrastruktur, bangunan pentadbiran dan perumahan di China dan di beberapa negara lain.

Comment