Cubaan seludup minyak masak digagalkan PPM
16:03 Mar 15, 2024  |  By SabahKini2
Cubaan seludup minyak masak digagalkan PPM

Timbalan Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Superintendan Abdul Nasir Othman berkata, suspek berumur 40 tahun itu ditahan bersama 35 kotak minyak masak paket 1kg di kawasan pesisir pantai Kampung Takun, Tungku kira-kira jam 10.30 malam.

LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang daripada tiga lelaki selepas dipercayai cuba menyeludup minyak masak ke negara jiran di sini.

Timbalan Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Superintendan Abdul Nasir Othman berkata, suspek berumur 40 tahun itu ditahan bersama 35 kotak minyak masak paket satu kilogram di kawasan pesisir pantai Kampung Takun, Tungku kira-kira jam 10.30 malam.

Katanya, PPM Lahad Datu yang membuat risikan dan pemantauan di kawasan pantai berkenaan mengesan tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan berdekatan sebuah kenderaan pacuan empat roda.

“Terdapar longgokan kotak minyak masak di atas tanah bersebelahan dengan kenderaan itu.

"Sebaik pasukan serbuan menghampiri kawasan itu, tiga lelaki bertindak melarikan diri.

"Pasukan serbuan kemudian mengejar dan berjaya menahan seorang daripada tiga lelaki terbabit," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut yang dijalankan menemukan longgokan minyak masak berjumlah 35 kotak berisi 595 bungkusan satu kilogram di atas tanah berdekatan dengan kenderaan. 

"Hasil pemeriksaan suspek gagal mengemukakan apa-apa dokumen pengesahan pemilikan barang-barang bersubsidi. 

"Semua minyak masak itu dipercayai diseleweng atau diseludup ke negara jiran," katanya.

Katanya keseluruhan rampasan termasuk kenderaan bernilai RM101,487.50 dan tangkapan dibawa ke markas operasi PPM Lahad Datu untuk tujuan dokumentasi.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

Comment