Cecair dan serbuk ketum dirampas PPM Sabah di Suang Parai
16:03 Mar 19, 2024  |  By SabahKini2
Cecair dan serbuk ketum dirampas PPM Sabah di Suang Parai

Timbalan Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Superintendan Abdul Nasir Othman berkata, serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat berkenaan kegiatan pemprosesan dan penjualan ketum di rumah terbabit.

KOTA KINABALU: Kegiatan seorang lelaki yang menjual serbuk ketum sebagai teh hijau atau green tea berjaya digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 dalam satu serbuan di sebuah rumah tidak bernombor Kampung Contoh, Suang Parai, Jalan Sepanggar Menggatal di sini.

Timbalan Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Superintendan Abdul Nasir Othman berkata, serbuan dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat berkenaan kegiatan pemprosesan dan penjualan ketum di rumah terbabit.

Katanya, seorang lelaki warga tempatan berumur 56 tahun berjaya ditahan di dalam serbuan yang dijalankan pada jam 9.30 malam 17 Mac lalu.

“Semasa serbuan dijalankan, pasukan kita menemukan tujuh bungkus plastik lut sinar mengandungi serbuk warna hijau bertulis ‘Green Tea Powder Padu’ dan satu bungkusan serbuk warna hijau kekuningan tidak bertulis yang masing-masing dipercayai serbuk ketum.

“Sebanyak 43 botol air 1.5 liter berisi air berwarna hijau disyaki air ketum bersama barangan memproses dan menjual ketum termasuk dapur dan tong gas, periuk serta penimbang besi, corong, penapis, plastik pembungkus dan botol kosong ditemukan di dalam rumah berkenaan.

“Polis juga merampas telefon bimbit dan wang tunai pelbagai nilai yang dipercayai hasil daripada kegiatan penjualan serbuk dan air ketum,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kesemua barangan bernilai RM6,560 dan suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Akta Racun 1952.

Comment