Cadangan pembinaan muka sauk kedua diluluskan kerajaan negeri
15:03 Mar 20, 2024  |  By SabahKini2
Cadangan pembinaan muka sauk kedua diluluskan kerajaan negeri

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata cadangan hasil inisiatif pejabat Parlimen Papar itu bakal dibincangkan oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan syarikat konsesi air, Jetama Sdn Bhd.

PAPAR: Kerajaan negeri sudah meluluskan cadangan pembinaan muka sauk kedua di Kampung Kabang sebagai alternatif untuk mengatasi masalah bekalan air yang berlarutan di daerah ini akibat kemarau sejak beberapa minggu lalu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata cadangan hasil inisiatif pejabat Parlimen Papar itu bakal dibincangkan oleh Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan syarikat konsesi air, Jetama Sdn Bhd.

Katanya, perbincangan termasuk peruntukan untuk cadangan pembinaan muka sauk kedua itu.

"Peruntukan akan dikemukakan oleh JANS dengan kerjasama Jetama. Ini (cadangan pembinaan muka sauk kedua) bukan sahaja menyelesaikan masalah air di Papar tetapi sebagai tindakan jangka masa panjang.

"Setiap tahun mungkin (loji) kita mengalami (kemasukan) air masin kerana muka sauk di Loji Rawaran Air (LRA) Limbahau tidak jauh daripada muara, jadi air masin selalu masuk.

"Kalau ada satu yang baru tiada masalah, sini tutup (muka sauk), sana boleh keluar air. Jadi itu yang dimaksudkan dengan peruntukan segera daripada kerajaan," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi taklimat mengenai bekalan air di LRA Limbahau, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya, dua Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Limus Jury dan Datuk Robert Tawik.

Mengulas mengenai kemarau yang melanda di Sabah, Hajiji berkata pihaknya sudah menubuhkan jawatankuasa bencana di setiap daerah bagi menangani sebarang masalah ketika ini.

"Kita ada jawatankuasa bencana di daerah masing-masing terutama bagi menangani masalah kemarau.

"Kemarau ini bukan (perkara) main-main. Boleh dikatakan banyak daerah yang mengalami kemarau tetapi tidak kekurangan air. Masih ada air sampai di kampung dan penduduknya.

"Cuma di Papar ada sedikit masalah kerana air masin sudah masuk ke muka sauk LRA Limbahau menyebabkan ia ditutup," katanya.

Ditanya mengenai cadangan pembenihan awan beliau berkata, ia akan dilakukan dalam tempoh terdekat ini, namun ia tidak semestinya dilaksanakan di daerah Papar sahaja.

1 Comment