Pegawai bomba wanita kena renjatan elektrik
15:03 Mar 20, 2024  |  By SabahKini2
Pegawai bomba wanita kena renjatan elektrik

Mangsa, Samantha Echa Sigah, 36, segera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (QEH) menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

KOTA KINABALU: Seorang pegawai bomba wanita cedera terkena renjatan elektrik ketika memadam kebakaran kediaman di Kampung Keliangau 2, Manggatal, di sini, tadi.

Mangsa, Samantha Echa Sigah, 36, segera dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (QEH) menggunakan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bagi mendapatkan rawatan kecemasan.

Bagaimanapun pegawai bomba yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas itu dilaporkan stabil.

Ketua BBP Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian kebakaran itu pada jam 10.05 pagi sebelum menghantar pegawai dan anggota bomba ke lokasi sejauh 10 kilometer dari jarak balai bomba.

"Kebakaran membabitkan rumah serta sebuah bengkel persendirian.

"Turut terbakar tiga kenderaan iaitu pacuan empat roda dan kereta Perodua Kancil yang terbakar sepenuhnya. Manakala sebuah lagi pacuan empat roda terjejas sebanyak 50 peratus.

"Operasi memadam kebakaran menggunakan sumber air dari jentera dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 10.44 pagi," katanya semalam.

Beliau berkata, terdapat seorang anggotanya cedera akibat terkena renjatan elektrik dan dihantar ke QEH II menggunakan Jentera EMRS.

"Operasi memadam kebakaran dibantu pasukan BBP Kota Kinabalu dan agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM). Petugas Sabah Elektricity Sdn Bhd (SESB) turut berada di lokasi kejadian," katanya.

Comment