Maklumat kejayaan dan status Pelan Pembangunan SMJ boleh diperoleh menerusi pelbagai platform
15:03 Mar 21, 2024  |  By SabahKini2
Maklumat kejayaan dan status Pelan Pembangunan SMJ boleh diperoleh menerusi pelbagai platform

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Pusat Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan menghebahkan maklumat berkaitan kejayaan SMJ melalui wakil-wakil rakyat dan kementerian-kementerian.

KOTA KINABALU: Rakyat di negeri ini termasuk wakil rakyat boleh memperoleh semua hebahan mengenai status, kejayaan dan pencapaian Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) menerusi pelbagai platform secara meluas.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Pusat Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, kerajaan menghebahkan maklumat berkaitan kejayaan SMJ melalui wakil-wakil rakyat dan kementerian-kementerian.

Selain itu katanya, hebahan maklumat turut dilakukan menerusi agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah, Unit Pembangunan dan Pemimpin Masyarakat (UPPM), pejabat-pejabat wakil-wakil rakyat dan unit media kelolaan kerajaan, termasuklah media digital.

Menurutnya, cara termudah untuk mengakses maklumat berkenaan SMJ adalah melalui laman sesawang rasmi https://smj.sabah.gov.my/.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Ketua Penerangan UMNO Sabah yang juga Ahli Parlimen Libaran Datuk Suhaimi Nasir yang menyatakan rakyat tertanya-tanya mengenai status Pelan Pembangunan SMJ yang dilancarkan sejak 2021.

"Seandainya Datuk Suhaimi Nasir meluangkan masa mengikuti maklumat yang diberikan melalui medium yang saya nyatakan, sudah tentu beliau tidak akan mengeluarkan kenyataan terbabit.

"Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menyebarkan maklumat penting. Wakil rakyat seperti Datuk Suhaimi mempunyai tanggungjawab untuk mencari maklumat sebelum mengeluarkan kenyataan.

"Untuk pengetahuan Datuk Suhaimi, kerajaan negeri sedang berusaha untuk menurunkan kadar miskin tegar di Sabah menjelang penghujung tahun ini," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata, rangkuman pencapaian SMJ meliputi hala tuju kemajuan dan pembangunan 2021-2025 termasuklah pencapaian dan keberhasilan menyelesaikan kemudahan asas terutama berkaitan bekalan air dan tenaga elektrik.

Menurutnya, bagi hal berkaitan jalan raya, sudah tentu ia berkaitan proses menyiapkan Pan Borneo, sementara projek berkaitan jalan-jalan yang di luar Pan Borneo, kebanyakannya sedang berada pada fasa pembinaan.

Nizam berkata, melalui persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, kerajaan juga menjawab perihal berkaitan status projek-projek kerajaan melalui jawapan secara lisan atau bertulis.

"Antara usaha yang sedang dijalankan kerajaan adalah memberi bantuan modal perniagaan, menyediakan Rumah Mesra SMJ dan memberi peluang pekerjaan untuk anak-anak miskin tegar di Sabah.

"Kelompok miskin tegar dalam sistem e-Kasih adalah golongan sasar yang akan dibantu.

"Selain membasmi kemiskinan, kerajaan negeri juga melancarkan Sabah Energy Roadmap & Master Plan 2040 pada September 2023. Usaha ini untuk kerajaan beralih daripada kebergantungan sumber tenaga tidak boleh diperbaharui kepada rangkaian sungai di Sabah," jelasnya.

Katanya, hidroelektrik adalah kunci kepada aspirasi tenaga boleh diperbaharui dan bagi meningkatkan kapasiti hidro di Sabah, pembinaan Projek Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom bernilai RM4 bilion dengan kapasiti 187.5MW dilaksanakan serta dijangka siap pada 2029.

Beliau berkata, bagi menstabilkan bekalan air, kerajaan turut meningkatkan kapasiti bekalan air di Loji Rawatan Air (LRA) Telibong 1 dan 2 sebanyak 130 sehingga 180 juta liter air sehari (MLD).

Langkah itu katanya, mampu membekalkan air di kawasan Kota Kinabalu Utara, Tuaran, Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Menurutnya, kerajaan turut meningkatkan kapasiti bekalan air di LRA Kogopon di Papar kepada 80 MLD untuk kawasan Papar, Kimanis sehingga ke Selatan Kota Kinabalu. Projek ini bermula lima bulan lepas dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

"Apa yang saya sebutkan ini adalah sebahagian daripada kejayaan-kejayaan Pelan Pembangunan SMJ dan semua maklumat ini adalah maklumat awam yang boleh diakses melalui platform yang saya nyatakan terutamanya laman sesawang rasmi SMJ. 

"Saya berharap selepas ini Datuk Suhaimi dan pasukan pembangkang akan melakukan sedikit kajian dan bacaan sebelum melontarkan kenyataan yang tidak berasas," jelasnya.

1 Comment