Kelewatan Lebuhraya Pan Borneo, ubah kaedah pelaksanaan jadi faktor utama
16:03 Mar 22, 2024  |  By SabahKini2
Kelewatan Lebuhraya Pan Borneo, ubah kaedah pelaksanaan jadi faktor utama

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata pertukaran itu susulan keputusan kerajaan negeri pada 2019 yang mengesyorkan Kerajaan Persekutuan menamatkan kaedah PDP dan perjanjian berkaitan.

KOTA KINABALU: Pertukaran kaedah pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah kepada kaedah konvensional berbanding menggunakan Rakan Penyampai Projek (PDP) menjadi faktor utama kelewatan projek itu di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata pertukaran itu susulan keputusan kerajaan negeri pada 2019 yang mengesyorkan Kerajaan Persekutuan menamatkan kaedah PDP dan perjanjian berkaitan.

Beliau berkata, tindakan itu salah kerana penamatan Perjanjian PDP bermakna model kewangan untuk membiayai perbelanjaan bagi pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo juga ditamatkan.

"Menerusi Perjanjian PDP, model kewangan dijangka mencukupi melalui Peruntukan Pembangunan dan daripada terbitan sukuk DanaInfra.

"Setelah perjanjian PDP ditamatkan, sumber kewangan pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah hanya melalui Peruntukan Pembangunan yang sangat terhad.

"Ini menyebabkan hanya 15 pakej dapat dilaksanakan daripada 35 pakej keseluruhannya manakala baki 20 pakej ditangguhkan sehingga kelulusan semula pada 2023," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kenyataan itu bagi menjelaskan perkara dibincangkan dalam Sesi Kamar Khas Sidang Dewan Rakyat berkaitan isu Lebuhraya Pan Borneo yang videonya tular, baru-baru ini.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya Sabah, berkata ia berbeza dengan Lebuhraya Pan Borneo Sarawak apabila terbitan sukuk terlebih dahulu dilakukan, menyebabkan projek di negeri itu mempunyai sumber kewangan mencukupi bagi keseluruhan pakej.

Bagaimanapun, katanya, Kerajaan Sabah sentiasa komited melaksana dan menyiapkan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dengan berusaha meneruskan baki 20 Pakej yang belum bermula.

"Hasil kerja keras dan desakan Kerajaan Sabah, Kerajaan Persekutuan meluluskan pelaksanaan baki 20 pakej kerja pada 2023 dan dengan kelulusan itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah menyiapkan semua keperluan bagi pelaksanaan semula semua pakej.

"Reka bentuk dan dokumen tender sudah tersedia dan proses Makmal Pengurusan Nilai turut disiapkan pada akhir Oktober 2023.

"Setakat 22 Mac 2024, empat Pakej Kerja iaitu WP12,13,14 dan 16 sudah dibuat pelantikan kontraktor," katanya.

Beliau berkata, kerja fizikal akan bermula pada 1 April depan manakala baki 16 pakej dalam proses perolehan dan dijangka dimuktamadkan pada bulan depan, disusuli kerja-kerja fizikal yang dijangka bermula Mei depan.

Comment