Statistik jenayah di Sabah meningkat sebanyak 782 kes berbanding tahun lalu
15:03 Mar 25, 2024  |  By SabahKini2
Statistik jenayah di Sabah meningkat sebanyak 782 kes berbanding tahun lalu

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, peningkatan terbabit hasil pendekatan Kontinjen Sabah yang memastikan semua laporan polis diterima dan mempunyai unsur jenayah dibuka kertas siasatan.

KOTA KINABALU: Statistik jenayah indeks di Sabah bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini mencatatkan peningkatan sebanyak 782 kes atau 23.34 peratus berbanding 634 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, peningkatan terbabit hasil pendekatan Kontinjen Sabah yang memastikan semua laporan polis diterima dan mempunyai unsur jenayah dibuka kertas siasatan.

“Kita mengambil pendekatan membuka kertas siasatan walaupun membabitkan kesalahan kecil yang boleh diklasifikasi tidak memerlukan siasatan (NFA) serta kes yang membabitkan kerugian dan kesalahan kecil.

“Usaha ini adalah bagi membolehkan pihak polis mengenal pasti dan melihat taburan serta corak jenayah yang berlaku di Sabah seterusnya membolehkan kita merangka strategi yang lebih berkesan,” katanya semasa sidang media selepas sambutan Peringatan Hari Polis ke-217 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah di sini.

Jauteh berkata, walaupun Kontinjen Sabah mencatatkan peningkatan jenayah indeks, pada masa sama pihaknya turut merekodkan penyelesaian jenayah melebihi 60 peratus.

Katanya, Kontinjen Sabah berjaya menyelesaikan 65.35 peratus bersamaan 511 kes daripada keseluruhan 782 kes berkenaan.

“Daripada keseluruhan jenayah di Sabah, kes pecah rumah menunjukkan peningkatan paling ketara iaitu 262 kes berbanding 228 kes pada 2023 bersamaan 12.97 peratus.

“Antara yang menarik perlu diberi perhatian ialah kejayaan menumpaskan empat kumpulan kes pecah rumah iaitu sindiket yang bermotifkan curi peti besi iaitu Geng Arrino, Gurun, Rizal, dan Yogi bagi dua bulan pertama tahun ini.

“Bagi tempoh sama juga kita berjaya menahan 12 suspek dan menyelesaikan 14 kes kecurian peti besi yang menyebabkan kerugian sebanyak RM1.361 juta,” katanya.

Jauteh berkata, modus operandi suspek adalah membuat pemerhatian di kawasan perumahan elit sebelum memecah masuk rumah yang ditinggalkan bagi tempoh singkat berdasarkan keadaan surat khabar yang tidak diambil di luar koridor rumah.

“Pemilik rumah dinasihat untuk sentiasa mengutamakan aspek keselamatan rumah iaitu menghubungi gerakan IPK atau mendaftar Aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) semasa meninggalkan rumah terutama pada musim perayaan,” katanya.

Sementara itu, Jauteh berkata, pihanya menggerakkan keanggotaan mencukupi sepanjang Op Selamat sempena Hari Raya Aidilfitri membabitkan lebih 1,400 anggota serta pegawainya menerusi pembentukkan task force bagi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Sabah.

“Seramai 283 pasukan JSPT akan bertugas bagi Op Selamat dengan menumpukan 54 kawasan panas atau hot spot di jalan raya utama seluruh Sabah bermula 8 April depan manakala seramai 1,124 pegawai JSJ menerusi Op Pintu sepanjang Aidilfitri,” katanya.

2 Comments