PBS-BN fokus tawan semula kerusi Kadamaian
12:03 Mar 18, 2018  |  By SabahKini2
PBS-BN fokus tawan semula kerusi Kadamaian

Daripada tinjauan kami, terdapat perubahan besar dalam kalangan pengundi yang kini memihak kepada BN dan mereka tidak sabar untuk mengembalikan kerusi itu kepada BN menerusi PBS

KOTA BELUD- Parti Bersatu Sabah (PBS) menyasarkan untuk menawan semula kerusi Dewan Undangan Negeri Kadamaian pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan sehubungan itu anggota parti itu digesa terus bekerja keras untuk merealisasikannya.

Timbalan Presiden PBS Datuk Seri Dr Maximus Ongkili ketika membuat gesaan itu berkata jentera pilihan raya di peringkat bahagian dan 16 pusat daerah mengundi telah ditubuhkan bagi tujuan itu di bawah seliaan Barisan Nasional (BN) Kota Belud.

"Daripada tinjauan kami, terdapat perubahan besar dalam kalangan pengundi yang kini memihak kepada BN dan mereka tidak sabar untuk mengembalikan kerusi itu kepada BN menerusi PBS," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Ketua Bahagian, Ketua Wanita dan Ketua Pemuda PBS Kota Belud dengan pegawai pilihan raya daerah di sini, hari ini.

Ongkili yang merupakan Anggota Parlimen Kota Marudu pada mesyuarat itu menjalankan tugas sebagai presiden PBS berikutan Tan Sri Joseph Pairin Kitingan memutuskan untuk bersara daripada jawatan tertinggi parti itu.

Justeru itu, beliau menegaskan perlunya perpaduan, jentera efektif, kerjasama komponen dan kerja keras untuk menawan semula kerusi itu, sambil menyatakan BN tidak pernah menganaktirikan Kadamaian dengan terus menyalurkan bantuan untuk pembangunan kawasan itu walaupun dikuasai pembangkang.

Ongkili yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yakin hasrat menawan semula kerusi itu mampu dicapai berdasarkan kemantapan kepimpinan BN Kota Belud yang diterajui Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

"Ketika ini, PBS Kadamaian mempunyai 77 cawangan dengan kira-kira 5,519 anggota termasuk 2,971 anggota baharu, yang meningkat sebanyak 54 peratus sejak PRU13, yang menunjukkan kehadiran kami semakin kukuh di Kadamaian.

"Terdapat sejumlah 57,712 pemilih berdaftar di sini (Kota Belud) dengan 17,909 tinggal di Kadamaian. Kami yakin mampu menang di kerusi ini pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Antara pemimpin PBS yang hadir pada mesyuarat itu ialah Naib Presiden Datuk Seri Radin Malleh, Setiausaha Agung Datuk Johnny Mositun, Ketua Penerangan Datuk Jahid Jahim dan Ketua Bahagian PBS Kadamaian Demis Rumanti.

-- BERNAMA

2 Comments