Sabah, Sarawak dan Labuan perlu ada stok penimbal gula – Armizan
15:04 Apr 09, 2024  |  By SabahKini2
Sabah, Sarawak dan Labuan perlu ada stok penimbal gula – Armizan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, dengan ada stok penimbal sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan penggunaan gula selama sebulan jika berlaku masalah bekalan.

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melihat keperluan untuk mewujudkan stok penimbal gula bagi memastikan bekalan bahan pemanis itu sentiasa ada di Sabah, Sarawak dan Labuan.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata walaupun langkah itu membabitkan komitmen kewangan yang tinggi kepada kerajaan, ia dilihat sebagai kaedah paling berkesan untuk menangani masalah ketiadaan bekalan gula di ketiga-tiga kawasan.

Katanya, dengan ada stok penimbal sekurang-kurangnya dapat menampung keperluan penggunaan gula selama sebulan jika berlaku masalah bekalan daripada pengeluar atau penghantaran dari Semenanjung adalah sangat penting.

Beliau berkata, keputusan mengenai langkah itu bakal diketahui pada suku kedua tahun ini (Jun) serentak dengan keputusan mengenai pelaksanaan mekanisme baharu penentuan harga untuk gula yang akan diumumkan oleh kerajaan.

"Sabah dan Sarawak ketika ini tiada stok penimbal gula, sebab itu kalau berlaku gangguan seperti isu perkapalan dan lain-lain, bekalan gula akan terputus memandangkan gula terpaksa dihantar dari kilang pengeluar di Semenanjung.

"Jadi, kita cadang supaya stok penimbal gula diwujudkan di Sabah dan Sarawak, tapi ini sudah tentu ada implikasi kewangan dan ia sedang difikirkan, tertakluk kepada keputusan pada suku kedua 2024 nanti.

"Stok penimbal gula ini memang diperlukan dan kita sudah menyuarakannya kepada kerajaan, khusus untuk kepentingan pengguna di Sabah, Sarawak dan Labuan," katanya pada sidang media ketika meninjau bekalan gula di gudang Sazarice Sdn Bhd di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), di sini, hari ini.

Syarikat berkenaan adalah pengedar tunggal gula rakyat atau gula yang dikawal harga oleh kerajaan keluaran CSR di Sabah.

Sementara itu, Armizan berkata kenaikan harga kawalan gula daripada RM2.85 sekilogram ketika ini dan isu subsidi gula juga antara yang sedang difikirkan menerusi mekanisme baharu penentuan harga untuk gula yang akan diputuskan pada Jun depan.

"Ini bukan mudah apatah lagi apabila disebut mahu naikkan harga kawalan, banyak perkara perlu ditimbangkan. Namun perkara ini sudah berlarutan agak lama dan rayuan menaikkan harga kawalan oleh dua pengeluar utama gula di negara ini bermula sejak 2021 lagi.

"Ini kerana kosnya (gula) sangat tinggi, data kos gula mentah dunia menunjukkan kenaikan 100 peratus berbanding sebelum pandemik COVID-19 dan sekarang berlaku defisit gula dunia menyebabkan banyak negara berebut gula mentah, tapi kerajaan sehingga kini masih mengekalkan harga kawalan gula RM2.85," katanya.

Beliau berkata, soal harga juga perlu difikirkan bagi menangani isu penyeludupan gula berikutan harga di negara ini yang masih rendah berbanding RM5 sekilogram di Indonesia dan RM8.30 di Filipina.

Dalam pada itu, Armizan berkata bekalan gula di pasaran Sabah ditingkatkan Mac lalu sempena Ramadan dan persiapan menjelang Syawal iaitu sebanyak 6,980.32 tan metrik berbanding dua bulan sebelumnya iaitu 5,156.34 tan pada Februari dan 4,781.52 tan metrik bagi Januari.

Bagi bulan ini, katanya sebanyak 6,119.80 tan metrik gula dihantar ke negeri ini, manakala 190 tan metrik di Wilayah Persekutuaan Labuan.

"KPDN melaksanakan kerjasama dengan sebanyak 25 pemborong utama gula bagi MSM dan 13 pemborong gula bagi CSR yang berperanan mengedarkan gula putih bertapis kepada peruncit berlesen di seluruh Sabah.

"Selain itu, sebanyak 161 Dedicated Retailer (DDR) dan 89 Dedicated Wholesaler (DDW) juga dilantik dan dipantau setiap hari sebagai penanda aras sebarang kekurangan bekalan gula di pasaran," katanya.

1 Comment