Program Rumah Mesra SMJ terus dilaksanakan
15:04 Apr 13, 2024  |  By SabahKini2
Program Rumah Mesra SMJ terus dilaksanakan

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, Rumah Mesra SMJ antara usaha yang diwujudkan bagi membantu rakyat memerlukan di negeri ini.

RANAU: Program Rumah Mesra Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan diteruskan bagi membantu rakyat yang memerlukan di negeri ini selagi GRS memerintah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata, Rumah Mesra SMJ antara usaha yang diwujudkan bagi membantu rakyat memerlukan di negeri ini. 

“Setiap DUN akan diperuntukkan 20 buah Rumah Mesra SMJ dan rumah yang sudah siap ini adalah rumah yang dibina sejak 2022 lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci Rumah Mesra SMJ di Kampung Merungin 2 di sini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Ranau Tinus Saiman, Pegawai Pemimpin Pembangunan Masyarakat DUN Kundasang Dounis Sani, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri Yubidi Gompoyo dan kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) DUN Kundasang. 

Joachim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang berkata, kerajaan negeri menetapkan kontraktor yang melengah-lengahkan pembinaan Rumah Mesra SMJ akan disenaraihitamkan.

“Kerajaan tidak mahu rumah-rumah ini lewat disiapkan, terdapat kontraktor yang melengah-lengahkan pembinaan rumah, maka pihak itulah yang akan disenaraihitamkan.

“Kita akan melihat punca kelewatan pembinaan rumah sama ada kerana cuaca atau jarak lokasi jauh dan mereka (kontraktor) juga akan diberikan elaun khas,” katanya.

Joachim turut berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana memilih Ranau sebagai hos kepada pelancaran Pesta Kaamatan Peringkat Negeri bagi tahun 2024.

Beliau berkata, jawatankuasa pelaksana yang diketuai oleh Pegawai Daerah Ranau sebagai Pengerusi mengadakan mesyuarat setiap minggu sebagai persediaan pelancaran pesta ini.

“Selain itu, semua agensi kerajaan dan persatuan etnik seperti Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Persatuan Dusun Sabah Bersatu (USDA) dan beberapa lagi persatuan etnik di Ranau dilibatkan secara langsung dalam pelancaran Pesta Kaamatan ini. 

“Pelancaran Pesta Kaamatan akan diadakan di Dewan Masyarakat Ranau manakala bagi aktiviti lain seperti sukan rakyat akan diadakan di tapak tamu pekan Ranau,” katanya.

Menurutnya, pelancaran ini sepatutnya diadakan secara besar-besaran dan lapangan terbang lama sedia digunakan, bagaimanapun selepas berbincang dan disebabkan harga barang meningkat serta rakyat mengadu kos sara hidup turut meningkat, maka pendekatan sederhana diambil. 

“Sebagai mewakili Pengerusi Pelaksana dan semua wakil rakyat daerah Ranau saya menjemput seluruh rakyat di Sabah untuk hadir menyaksikan pelancaran Pesta Kaamatan yang akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor,” katanya. 

Beliau kemudian mengunjungi rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediaman Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun serta beberapa lagi rumah dalam DUN Kundasang. 

1 Comment