Rakan kerjasama PRN 17: PH Sabah akan umum selepas bubar DUN
10:04 Apr 16, 2024  |  By SabahKini2
Rakan kerjasama PRN 17: PH Sabah akan umum selepas bubar DUN

Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew, berkata perkara itu hanya diputuskan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan, kemungkinan besar sehingga habis penggal DUN sekarang.

Pakatan Harapan (PH) Sabah belum membuat sebarang ketetapan untuk bekerjasama atau bergabung dengan mana-mana parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew, berkata perkara itu hanya diputuskan selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan, kemungkinan besar sehingga habis penggal DUN sekarang.

"Kita tunggu apabila kerajaan membubarkan DUN kerana apa yang saya dengar, kerajaan sekarang akan kekal sehingga tamat penggal DUN iaitu pada Oktober tahun depan.

"Sekarang, kita (PH Sabah) bekerja keras untuk melaksanakan kerja kita sebagai sebahagian daripada kerajaan," katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah bersama kakitangan dan media, di sini, malam tadi.

Christina yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, berkata demikian ketika ditanya sama ada PH mahu bekerjasama dengan Gabungan Rakyat (GRS) atau Barisan Nasional (BN) pada PRN17 nanti.

Ketika ini, PH Sabah adalah sebahagian daripada kerajaan negeri bersama GRS atau dikenali sebagai kerajaan GRS - PH Plus selepas beberapa pemimpin PH negeri dibawa masuk ke dalam jemaah Kabinet negeri pada awal tahun lalu.

PH menggantikan BN, khususnya UMNO yang bertindak menarik diri daripada kerjasama dengan GRS selepas hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sementara itu, Christina yang juga bekas Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah, berkata kemelut kepemimpinan yang melanda PKR Sabah ketika ini adalah situasi biasa yang sering berlaku dalam parti itu.

Katanya, sepanjang lebih 20 tahun PKR bertapak di Sabah, sudah ramai pemimpin yang menjadi ketua dan ditukar, selain tidak kurang juga yang keluar dan masuk parti.

"Isu menukar pengerusi atau pemimpin dan orang yang keluar parti sudah banyak kali berlaku sejak lebih 20 tahun lalu, jadi ia sudah menjadi perkara yang biasa.

"Namun, saya yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR akan dapat menyelesaikan isu yang berlaku kali ini dan menyatukan ahli untuk kita menghadapi PRN17," katanya.

PKR Sabah berdepan kemelut kepemimpinan selepas 15 daripada 26 Ketua Cabang di Sabah dan Labuan menyatakan hilang kepercayaan terhadap Pengerusi MPN Sabah sekarang, Datuk Dr Sangkar Rasam dan memintanya meletak jawatan.

Bagaimanapun, Sangkar enggan melepaskan jawatan dan menegaskan beliau masih Ketua PKR Sabah yang sah selagi Anwar tidak membuat sebarang keputusan mengenai kedudukannya.

Christina yang pernah disingkirkan dari jawatan sama menerusi situasi serupa pada 2022, berkata Anwar dijangka datang ke Sabah pada 20 April ini untuk menghadiri sambutan Aidilfitri dan mungkin mengambil peluang bertemu dengan semua Ketua Cabang bagi memutuskan kemelut Pengerusi MPN.

Katanya, pelantikan Pengerusi MPN PKR adalah atas kuasa presiden parti menerusi sokongan majoriti daripada semua Ketua Cabang.

Februari lalu Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali mahu perpaduan sedia ada antara gabungan berkenaan dengan Pakatan Harapan (PH) diteruskan dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Ahli Parlimen Papar itu berkata walaupun kepimpinan tertinggi GRS belum membuat sebarang perbincangan mengenai formula kerjasama dalam pilihan raya akan datang, beliau mempunyai pendiriannya sendiri.

"Sabah dan Sarawak mempunyai formula masing-masing iaitu pada hakikatnya kerajaan negeri di Sabah hari ini adalah sebuah kerajaan Perpaduan dengan acuan sendiri melibatkan gabungan GRS-PH Plus," katanya 

Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berkata komposisi kerajaan Sabah hari ini iaitu GRS-PH Plus dibentuk selepas pembentukan kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

 

1 Comment