Mendiang Joseph Kurup banyak mengajar saya – Hajiji
14:04 Apr 19, 2024  |  By SabahKini2
Mendiang Joseph Kurup banyak mengajar saya – Hajiji

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau pernah bertugas sebagai Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah pada 1994 di bawah Jospeh.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata beliau banyak belajar daripada mendiang Tan Sri Jospeh Kurup terutamanya dalam menggalas tanggungjawab sebagai seorang pemimpin.

Hajiji berkata beliau juga pernah bertugas sebagai Pembantu Menteri di Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah pada 1994 di bawah Jospeh yang antara lain memberi peluang untuk beliau melihat sendiri cara kerja pemimpin yang dihormati di Sabah itu.

Ketua Menteri itu berkata antara kenangan paling manis adalah ketika mendiang membawanya ke Afrika Selatan, Namibia dan Mauritius pada 1994 bagi menimba pengalaman serta melihat sendiri negara luar.

“Banyak saya belajar dan terima pandangan serta nasihat daripada mendiang, kita akan kenang jasa dan khidmat bakti Tan Sri Joseph Kurup untuk selamanya. Kita kehilangan pemimpin dan sahabat dengan pemergian mendiang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di Wisma Fook Lu Siew di sini hari ini.

Terdahulu, ketibaan Hajiji disambut anak mendiang iaitu Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Arthur Joseph Kurup, sebelum bertanya khabar kepada ahli keluarga antaranya isteri mendiang Puan Sri Melinda Mak Soak Fong.

Antara pemimpin tempatan dan rakyat Sabah yang hadir memberikan penghormatan kepada mendiang adalah Timbalan Ketua Menteri I Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya.

Turut hadir anggota Kabinet kerajaan negeri termasuk Menteri Kewangan negeri Datuk Seri Masidi Manjun, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri Datuk Christina Liew dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri Datuk Phoong Jin Zhe.

Upacara penghormatan terakhir Joseph yang meninggal dunia Rabu lepas, akan diadakan selama empat hari bermula hari ini, sebelum majlis pengebumian dijadualkan pada Selasa (23 April).

Comment